Pelajar PhD USIM lulus ujian kelayakan meskipun kampung musnah dibom Israel - Utusan Malaysia

Pelajar PhD USIM lulus ujian kelayakan meskipun kampung musnah dibom Israel

ABDALLAH Abuajwa mengikuti ujian kelayakan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) USIM secara dalam talian di bawah khemah di kawasan terbuka dengan berlatar belakang kawasan kediaman yang musnah dibedil tentera Israel di Gaza, Palestin.-GAMBAR/IHSAN USIM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pelajar  peringkat pengajian Doktor Falsafah (PhD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) lulus dalam ujian kelayakan (qualifying test) yang dijalankan secara dalam talian meskipun dalam keadaan kampung halamannya di Gaza, Palestin musnah dibom tentera Israel.

USIM menerusi kenyataan memberitahu, Abdallah Abuajwa, 40, merupakan pelajar program Ijazah Kedoktoran Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan universiti itu, tetap nekad menjalani ujian berkenaan secara dalam talian walaupun berdepan dengan risiko dibedil bom pada bila-bila masa sahaja.

Dalam satu rakaman video pada akhir sesi ujian kelayakan tersebut, Abdallah yang berada di utara Gaza dilihat sedang berada di bawah khemah di kawasan terbuka dikelilingi oleh runtuhan bangunan yang musnah. 

Pada akhir sesi ujian kelayakan beliau, Abdallah melahirkan rasa terima kasih kepada warga fakulti khususnya jawatankuasa penyeliaan beliau yang diketuai oleh Dr Ali Nasser Ali Al-Tahitah yang tidak putus asa memberikan sokongan moral dan tunjuk ajar dalam pengajiannya.

“Saya akan meneruskan pengajian saya sehingga selesai walau seteruk mana pun keadaannya. Keadaan yang amat sukar ini menjadikan saya seorang yang lebih kuat dan saya akan terus berdoa agar Allah SWT memberikan saya ilmu yang bermanfaat untuk agama dan negara Palestin,” kata Abdallah pada akhir sesi ujian itu yang turut berterima kasih kepada warga fakulti itu khususnya jawatankuasa penyeliaannya yang diketuai oleh Dr. Ali Nasser Ali Al-Tahitah.

Menurutnya lagi, meskipun infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat di Gaza musnah akibat serangan tentera Zionis, dia masih berjaya mendapatkan isyarat internet bagi meneruskan sesi ujian itu.

“Saya juga menggunakan sel solar agar peralatan elektronik boleh terus berfungsi bagi mendapatkan sumber elektrik untuk mengecas komputer riba dan telefon bimbit,” katanya lagi.

Sementara itu, penyelia utamanya, Dr. Ali Nasser berkata, beliau amat kagum dengan kecekalan pelajar seliaannya itu. 

“Abdallah menghadapi pelbagai dugaan seperti masalah kewangan, masalah kesihatan yang dialami oleh anaknya yang menghidapi penyakit kronik iaitu cerebral atrophy dan keadaan menjadi lebih buruk dengan perang di Gaza. 

“Walaupun ia mengganggu dan melambatkan pengajian PhD yang dijalaninya, Abdallah tetap cekal dan ingin meneruskan pembelajarannya,”katanya lagi.

Menurut Dr. Ali Nasser, Abdallah kini berada di semester ketujuh dan dengan kejayaan lulus ujian kelayakan dengan pembetulan, dia kini boleh meneruskan pengajian dan menamatkan PhD. 

Isteri Abdallah dan tiga orang anaknya kini berada di selatan Gaza manakala Abdallah yang terpisah bersama seorang anaknya berada di utara Gaza.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN