JERANTUT: Pelabur China Inner Mongolia Wanchuang Group dari Sungai Ular, Kuantan menyampaikan sumbangan duit raya dan bakul makanan kepada 15 asnaf di Kampung Kedondong, Pulau Tawar di sini.
Pengerusi Inner Mongolia Wanchuang Group, Li Ruidong berkata, asnaf terpilih terdiri warga emas, daif dan pesakit terlantar diberi sejumlah wang tunai dan keperluan dapur bagi meringankan beban kewangan pada bulan Ramadan.
“China Inner Mongolia Wanchuang Group sentiasa berpegang kepada rasa bertanggungjawab sebagai maklum balas kepada ekonomi tempatan dan perkembangan sosial melalui pelaburan projek dan badan kebajikan,” katanya di Kampung Kedondong Pulau Tawar di sini.
Ruidong berkata, pihaknya menghargai komitmen kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mesra pelabur dari China.
“Kami melabur jutaan ringgit menjalankan perniagaan aktiviti bahan mineral (pasir salika) kilang di Sungai Ular untuk pasaran tempatan dan eksport,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Mohd. Rozi Yaakob, 55, bersyukur menerima sumbangan duit raya dan bakul makanan daripada syarikat Inner Mongolia Wanchuang Group.
“Rezeki tidak pernah salah alamat dan ia hadir tepat pada waktunya ketika saya memerlukan duit untuk membeli baju raya lima anak dan isteri,” katanya.
Seorang warga emas Siti@Kamariah Karia, 85, pula berkata, sumbangan barangan makanan dan wang tunai tersebut begitu diperlukan terutama menjelang Aidilfitri.
“Saya akan gunakan duit sumbangan ini untuk membeli pakaian baharu manakala bakinya disedekahkan kepada cucu-cucu dan piut yang datang beraya,” katanya. – UTUSAN











