Onn Hafiz tegaskan tiada kasino akan beroperasi di Johor

Onn Hafiz tegaskan tiada kasino akan beroperasi di Johor

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri ini, sekali gus menafikan laporan berita sebuah portal antarabangsa, baru-baru ini.

Menurut beliau, kawasan pembangunan Forest City tidak memerlukan premis sedemikian untuk berkembang maju, sebaliknya bergantung kepada inisiatif-inisiatif ekonomi yang sedang dirancang kerajaan negeri dan Pusat.

“Sejarah jelas membuktikan bahawa sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim lagi, tiga kasino di Johor telah ditutup. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga telah bertitah bahawa baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor. Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini.

“Kerajaan Johor juga tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan atau cadangan berhubung perkara ini, apatah lagi terlibat atau dirujuk mengenainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, pihaknya yakin Forest City akan diberi nafas baharu dan kegiatan ekonomi akan bertambah rancak dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Justeru, khabar angin yang tular ini dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat mencemar imej Forest City dan Johor secara keseluruhannya. Dengan penegasan ini, kerajaan negeri berharap isu ini tidak lagi dipanjang dan dimomokkan sehingga menjejas kerukunan dan nama baik negeri dan negara serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum,” jelasnya lanjut.

Terdahulu, portal berita Bloomberg dengan memetik sumber melaporkan bahawa Perdana Menteri telah bertemu dua hartawan terkemuka minggu lalu bagi membincangkan rancangan membuka kasino di Forest City. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN