Najib dakwa dibenar jalani hukuman di rumah

Najib dakwa dibenar jalani hukuman di rumah

Najib Tun Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon agar beliau dikenakan tahanan di rumahnya di ibu negara bagi menghabiskan baki hukuman penjara.

Ini kerana, dakwa bekas Pre­siden UMNO itu, selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada “tahanan di rumah” dan bukannya di Penjara Kajang.

Pada 29 Januari lalu, Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa memutuskan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara dari 12 tahun kepada enam tahun selain pengurangan denda daripada RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Perkara itu dinyatakan Najib dalam permohonan semakan kehakiman difailkan 1 April lalu di Mahkamah Tinggi di sini. Sesalinan dokumen terbabit diperoleh media melalui carian di sistem mahkamah.

Permohonan ini akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh hari ini.
Najib selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara,

Peguam Negara Malaysia, Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan Dan Putrajaya dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) sebagai responden pertama hingga kelima.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden keenam dan ketujuh.

PETISYEN

Menurut penyataan pada 1 September 2022, Najib melalui peguamnya memfailkan petisyen memohon pengampunan penuh terhadap sabitan salah dan hukuman penjara serta denda selepas didapati bersalah atas tuduhan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd.

Kata pemohon, pada 29 Januari lalu, YDPA mengeluarkan ‘titah utama’ iaitu supaya hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.
Najib mendakwa titah adendum turut dikeluarkan pada tarikh sama tetapi mendakwa ia tidak didedahkan oleh mana-mana responden sehingga kini.

Namun pada 12 Februari lalu, Najib menerima ‘maklumat yang sahih’ yang mendakwa terdapat tambahan kepada Titah Utama yang mana YDPA, Sultan Abdullah mengeluarkan satu titah adendum iaitu pemohon dibenarkan menjalani hukumannya ‘tahanan di rumah.

Pada 14 Februari, Najib te­lah mengarahkan peguamnya menghantar surat kepada Peguam Negara yang turut disalinkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan

Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi memohon pengesahan berhubung titah adendum tersebut.

Peguam Najib turut memohon salinan asal titah utama dari Penjara Kajang tetapi tidak dijawab sehingga kini.

Najib mendakwa, kegagalan kesemua responden menjawab surat atau mengesahkan kewujudan titah adendum itu adalah sesuatu yang tidak rasional, tidak munasabah, menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN