SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bimbang dengan golongan terpelajar di negara ini kerana ada dalam kalangan mereka dipengaruhi sikap buruk yang dilarang Islam.
Baginda bertitah, mutakhir ini ramai individu mengaku diri agamawan atau ilmuwan dan mereka cuba mempengaruhi rakyat dengan menyampaikan pendapat dan hujah mengenai isu agama.
“Namun sebenarnya, mereka ini ada agenda peribadi tersembunyi, bak kata pepatah Melayu ‘ada udang di sebalik batu’ dalam tindakan yang dibuat. Mereka menggunakan agama, kedudukan dan populariti untuk meraih sokongan masyarakat dan sanggup melihat umat Islam berpecah-belah.
“Apa yang membimbangkan beta, sikap-sikap buruk yang dilarang oleh agama Islam mula menular dalam kalangan segelintir golongan terpelajar,” titah baginda selepas berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Damansara Perdana, semalam.
Oleh itu, Sultan Sharafuddin menyeru pemimpin-pemimpin politik supaya memainkan peranan menyatupadukan rakyat pelbagai bangsa dan agama serta tidak mengeruhkan keadaan dengan membangkitkan isu membawa perpecahan.
KEMAJUAN
“Negara yang rakyatnya tidak bersatu padu dan berpecah belah, tidak akan dapat mencapai kemajuan dan kejayaan diharapkan,” tegas baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menasihatkan rakyat supaya menjauhi sikap berprasangka buruk antara satu sama lain sebaliknya menyuburkan toleransi demi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat di Selangor.
“Sekiranya Selangor yang terdiri daripada rakyat yang berbilang bangsa dan agama ingin lebih maju dan progresif, perpaduan dan kerjasama yang terjalin dalam kalangan rakyat sekarang hendaklah dipertahan dan perlu terus ditingkatkan.
“Beta sentiasa mendoakan agar orang Melayu Islam di negeri beta dijauhi daripada sifat dan sikap tidak baik dan dilarang oleh Islam seperti menipu, mengadu domba, memfitnah dan mencaci. Beta tidak mahu sikap buruk itu terus berleluasa khususnya dalam media sosial,” ujarnya.
Sementara itu, dalam majlis tersebut Sultan Sharafuddin memaklumkan sebanyak 5,183 orang asnaf, fakir miskin dan mualaf di seluruh negeri menerima sumbangan Hari Raya daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM2.6 juta yang disampaikan sendiri oleh baginda.
Sepanjang Ramadan ini, Sultan Sharafuddin berkenan berbuka puasa bersama rakyat Selangor di 13 buah masjid di seluruh negeri melalui program Ihya’ Ramadan Sultan Selangor Bersama Rakyat bermula pada 13 Mac di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.- UTUSAN










