Mahkamah Tinggi tolak permohonan semakan kehakiman 186 pekebun Musang King - Utusan Malaysia

Mahkamah Tinggi tolak permohonan semakan kehakiman 186 pekebun Musang King

SAIFUL EDRIS Zainuddin (tengah) bersama bersama barisan peguam responden selepas keputusan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan. - UTUSAN/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan 186 pekebun durian Raub bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka sebelum ini.

Selain itu hakim turut menolak semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun itu kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn. Bhd.

Dalam masa sama, hakim turut menolak permohonan pekebun untuk menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Radzi Harun membaca keputusan terbabit dalam prosiding mahkamah yang berlangsung hari ini.

Hakim turut mengarahkan pemohon untuk membuat bayaran kos RM600,000 kepada ke semua responden yang dinamakan.

Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Datuk Saiful Edris Zainuddin berkata, hakim memutuskan sedemikian berikutan kesemua pemohon disahkan sebagai penceroboh dan tidak ada hak dari sudut undang-undang mahupun ekuiti.

“Antara alasannya penolakan semakan kehakiman juga adalah kerana tindakan kita (Kerajaan Negeri) mengusir mereka (pekebun) itu tidak ada unsur niat jahat.

“Selain itu plan pemutihan itu tidak ada unsur berat sebelah kerana ia masih boleh dirunding lagi oleh kedua belah pihak,” katanya.

Pada prosiding yang berlangsung secara hybrids tersebut, responden diwakili peguam Saiful Edris, Dorah Abdul Kadir, Abdul Hafiz Razat, Fatin Nur Syahirah, Datuk Mohd. Najid Husin, Nurnajihah Nadjemuddin, Brendan Siva, Datuk Mohd Yazid Mustapha, Tan Sri Cecil Abraham, Datuk Sunil Abraham, Nur Muzalifah Shabudin, Mohd Irwan Ismail dan Yap Jin Weng.

Manakala pemohon diwakili peguam Siew Choon Jern, Chen Chiu Hua dan Lim Pit Feng.

Choon Jern ketika ditemui media berkata, pihaknya akur dengan keputusan mahkamah dan pihaknya akan meneliti semula keputusan terbabit sama ada untuk membuat rayuan semula atau tidak.

“Saya akan membaca semula secara berhati-hati keputusan yang diberikan sebelum memberikan nasihat kepada klien sama ada perlu teruskan rayuan atau tidak,” ujarnya.

Terdahulu, pada 21 Ogos 2020 dua notis Semakan Kehakiman di Mahkamah Tinggi telah difailkan oleh 110 pekebun dan 94 pekebun pada 9 Disember 2020.

Kesemua pekebun menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, kerajaan Negeri Pahang, PKPP, Royal Durian Resources PKPP Sdn Bhd serta pihak berkuat kuasa negeri. Ia melibatkan tanah seluas kira-kira 2,167 hektar.

Akibat penerokaan tanah haram, kerajaan negeri kehilangan hasil cukai berjumlah RM30 juta dalam tempoh sepuluh tahun akibat penerokaan haram oleh pekebun durian Musang King di daerah tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN