Kilang padi Melayu tinggal nama?

Kilang padi Melayu tinggal nama?

MARZUKHI Othman meninjau kilangnya dengan padi yang masih tersadai belum diproses di kilang Dibuk Sdn. Bhd. Kangar, Perlis kelmarin. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kilang-kilang padi Melayu mungkin hanya tinggal nama dan semakin sukar untuk bertahan berikutan terpaksa menanggung kerugian besar ekoran permainan harga belian padi melibatkan kilang-kilang besar.

Kilang-kilang besar yang juga mempunyai syarikat pemborong beras sendiri lazimnya bersaing sesama sendiri dengan membeli padi dengan harga tinggi antara RM1,800 hingga RM2,100 bagi satu tan metrik.

Mereka berani membeli dengan harga tinggi apabila didakwa memanipulasi dengan mencampur beras tempatan dan import seterusnya menjual dengan harga beras import memandangkan jika menjual pada harga beras tempatan pada kadar RM26 bagi kampit 10 kilogram, ia hanya akan menyebabkan kerugian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, apabila berlaku situasi tersebut, kilang-kilang Melayu lain yang lebih kecil terpaksa mengikut rentak tersebut.

Katanya, kos bagi mengeluarkan beras apabila harga padi melangkaui RM1,800 satu tan metrik itu adalah RM3,000 satu tan metrik atau RM30 sekampit bagi berat 10 kilogram.

Lebih menyakitkan, katanya, apabila kilang-kilang padi diarahkan membekalkan beras pada harga RM2,550 per tan kepada empat syarikat yang dilantik Kawal Selia Padi dan Beras, sekali gus ia bakal menyebabkan mereka dianggarkan mengalami kerugian hingga RM8 juta di atas kiraan stok padi di dalam simpanan.

Ujarnya, pengilang yang mempunyai pemborong beras sendiri biasanya menggunakan kelebihan daripada kelemahan peraturan harga kawalan yang tidak mengawal harga beras import sebaliknya terpakai kepada beras tempatan sahaja iaitu RM26.

“Pengilang yang ada pemborong ini mengambil peluang berkenaan untuk mengaut keuntungan yang lumayan dan mereka gunakan keuntungan tersebut untuk menawarkan harga padi yang tinggi kepada broker dan pelesen.

“Pelesen dan broker inilah yang memindahkan padi dari kawasan yang sepatutnya dijual di kilang berhampiran ke kilang-kilang besar yang menaja mereka dengan komisen yang tinggi.

“Situasi tersebutlah yang menjadi penyebab utama pengilang yang tiada pemborong sendiri atau yang tidak mahu melakukan penipuan kepada pengguna tertekan dengan harga padi yang tinggi dan mengalami kerugian.

“Kilang padi Melayu mungkin tinggal nama selepas ini dan mungkin akan diingat sebagai lipatan sejarah sahaja. Kami dah tak tahan tanggung kerugian sejak lima tahun lalu dengan bank pun dah mula nak ambil tindakan. Mungkin perniagaan yang diasaskan oleh ayah saya sejak 1957 ini juga akan berkubur atau bertukar tangan?” katanya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan pembelian padi yang tiada had menyebabkan hanya 11 kilang padi Melayu masih bertahan daripada 220 kilang padi berdaftar di bawah Lembaga Padi Dan Beras Negara (LPN).

Kebanyakan pengilang padi Melayu ‘lingkup’ kerana mereka tidak mampu bersaing dengan pengilang besar yang mampu membeli padi dengan harga lebih mahal dan dalam jumlah banyak sehingga 120,000 tan metrik sekali gus.

Keadaan itu seterusnya menyebabkan pengilang yang memonopoli pembelian padi menjadi penentu sama ada mahu mengeluarkan stok beras atau disimpan.

Sementara itu, Marzukhi berkata, pihak pengilang meminta agar Kawal Selia Padi dan Beras menghentikan amalan pengeluaran permit pemindahan padi antara negeri.

“Selain itu mengehadkan kuota belian padi kepada pengilang mengikut kategori kilang selain mengadakan gred tunggal untuk beras tempatan dan import dengan cadangan harga dikawal pada RM36 sekampit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN