LIPIS: Kira-kira 30 orang ahli Persatuan Belia 4B memeriahkan jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan memakai kain pelikat dan baju kebaya di Kampung Bukit Betong di sini.
Naib Ketua Belia 4B Bukit Betong, Asrul Muhamad, 26, berkata, dia serta rakan kalangan lelaki mengenakan kain pelikat untuk menambahkan kemeriahan jamuan hari raya di kampung tersebut tahun ini bagi meneruskan tradisi cara berpakaian orang-orang tua di situ.
“Kami bergotong-royong memasak lemang serta membantu tugas wanita di dapur membuat persiapan majlis dengan mengenakan kain pelikat memaparkan cara orang-orang tua berpakaian di kampung ini.
“Memakai kain pelikat lebih selesa berbanding seluar panjang seperti ‘jeans’ dan ‘slack’ malah memudahkan kita duduk ketika memasak dan mengangkat makanan untuk dihidang kepada tetamu,” katanya di sini.
Rakannya, Nurul Qaiyimah Fitriyah Jamil Azhar, 22, berkata, dia dan beberapa orang belia wanita di situ juga mengenakan baju kurung kebaya yang bercorak tradisional warisan orang-orang tua kampung itu.
“Berbusana tradisional dapat menyerikan majlis malahan tetamu luar juga teruja lebih lagi boleh menitip minat generasi baharu mengenai adab berpakaian orang-orang tua sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, cara berpakaian berkenaan dapat memperkenalkan warisan nenek moyang masyarakat Kampung Bukit Betong yang masih asimilasi dengan budaya Melayu sejak dahulu lagi termasuk era British pada abad ke-19 dan awal pasca merdeka.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Bukit Betong, Badra Isa Abdul Hamid berkata, jamuan hari raya anjuran bersama dengan pengurusan masjid dan Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) bertujuan memeriahkan suasana hari raya pada bulan Syawal melibatkan kehadiran penduduk setempat dan saudara-mara berdekatan.
“Kita menugaskan ahli Persatuan Belia 4B di sini mencari buluh lemang, daun ketupat, menyiang daging seterusnya masak, menyajikan makanan dan semua pengurusan jamuan ini yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd. Noor serta kaki tangan agensi kerajaan yang bertugas di sini,” katanya.
Ujarnya, idea ahli persatuan belia kampung itu memakai kain pelikat bagi lelaki dan sebahagian baju kebaya kalangan wanita sepanjang majlis ini juga menampakkan kemeriahan serta mengekalkan warisan orang-orang tua kepada tetamu luar. – UTUSAN










