KUALA TERENGGANU: Seorang juruwang wanita dihukum enam sebatan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini bagi tuduhan berkhalwat, Januari lalu.
Tertuduh, Nurfifi Amira Nawi, 37, yang merupakan pesalah wanita pertama dikenakan hukuman sebat bagi kesalahan berkhalwat di Terengganu turut berdepan hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hakim Kanan, Rosdi Harun membuat keputusan itu hari ini setelah Nurfifi Amira mengaku bersalah mengikut Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khalwat dengan seorang lelaki berusia 40 tahun di sebuah rumah di Taman Geliga dekat Kemaman sekitar pukul 3.15 petang, 31 Januari lalu.
Ketika kejadian, rumah itu didapati tertutup rapat serta berkunci sebelum seorang lelaki membuka pintu dan pemeriksaan mendapati tertuduh berdiri di hadapan sebuah bilik.
Hasil pemeriksaan lanjut serta soal siasat menunjukkan hanya mereka berdua berada di dalam rumah dan tiada hubungan suami isteri atau mahram.
Mahkamah menjatuhkan hukuman sebat terhadap Nurfifi Amira kerana ini merupakan kesalahan kedua atau berulang setelah didenda RM3,000 bagi kesalahan sama pada 2018.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua orang penjamin sementara menunggu tarikh pelaksanaan hukuman pada 6 Mei nanti di Penjara Marang.
Pasangan tertuduh akan didakwa bagi tuduhan sama di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 23 April ini.
Februari lalu, seorang lelaki menjadi pesalah khalwat pertama yang dihukuma sebat di negeri ini.










