MUAR: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anaknya yang masih di bawah umur pada April tahun lalu, Februari dan Mac lalu.
Walau bagaimanapun, tertuduh yang berusia 58 tahun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu melakukan perbuatan tidak bermoral dengan memegang dada anak perempuannya berusia 14 tahun pada 24 April tahun lalu.
Bapa tiga anak itu didakwa mengulangi perbuatan tidak bermoral itu pada Februari dan 16 Mac lalu dengan mencium mulut anaknya dengan tujuan seksual di kawasan rumah tertuduh di Jalan Arab, di sini.
Dia didakwa di bawah Seksyen 14, 14(a) dan Seksyen 16(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan sebatan jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh telah direman pada 26 Mac lalu di rumahnya, selepas pengadu yang merupakan anak kedua dan masih belajar dikunjungi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas ibu mangsa bimbang terhadap keselamatan anak perempuan keduanya itu.
Mangsa dijaga oleh tertuduh bersama adik lelakinya kerana sudah berpisah dengan ibu mangsa yang hanya menjaga anak pertama yang juga remaja perempuan.
JKM telah datang ke rumah tertuduh untuk memeriksa dan mengetahui keadaan anak jagaan tersebut, kemudian pengadu telah memberitahu pegawai tersebut tentang kejadian itu dan membawa mangsa membuat laporan polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir yang turut mencadangkan mangsa diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat sementara kes berlangsung untuk menjaga keselamatannya.
Tertuduh tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah meringankan jumlah jaminan kerana mempunyai masalah jantung yang teruk.
Mahkamah menetapkan tiada sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh memandangkan ia kesalahan serius dan melibatkan hubungan anak dan bapa kandung serta menetapkan 6 Mei depan sebagai sebutan semula dan penyerahan dokumen. – UTUSAN









