KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah mengeluarkan surat tuntutan peguam terhadap individu yang menyebarkan fitnah bahawa pentadbiran MUIS menyalahguna wang daripada tabung zakat untuk pembayaran bonus kakitangan.
Surat tuntutan itu menggesa individu terlibat untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada MUIS dalam tempoh 24 jam. Jika gagal berbuat demikian, saman akan difailkan serta merta terhadap penyebar tuduhan tidak berasas itu bagi menuntut keadilan.
Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, laporan polis mengenai dakwaan yang tular dalam laman media sosial itu juga telah dibuat pada 28 Mac lalu.
Tuduhan yang dilemparkan itu mengaitkan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali dikatakan telah mengarahkan pemindahan wang daripada Tabung Zakat ke Tabung Am (Pengurusan) berjumlah RM14 juta tanpa proses kelulusan untuk pembayaran bonus kakitangan MUIS.
“Susulan itu, laporan polis dibuat bagi tujuan siasatan kerana tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas pihak MUIS tersebut adalah jelas tidak berasas. Ini juga merupakan satu fitnah terhadap MUIS,” katanya.
Berdasarkan rekod, kutipan zakat pada tahun lalu adalah sebanyak RM141.18 juta dan ia telah dibahagikan kepada golongan-golongan asnaf seramai 91,060 orang.
Menurut Yahya, pihaknya sentiasa terbuka terhadap sebarang proses siasatan oleh pihak berkuasa.










