Ibu tunggal bersengkang mata siapkan 30,000 biskut raya

Ibu tunggal bersengkang mata siapkan 30,000 biskut raya

HAYATI Yaakob tekun menyiapkan tart nanas di kediamannya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang ibu tunggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di sini bersengkang mata menyiapkan lebih 30,000 biji biskut raya pelbagai jenis yang ditempah pelanggan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Hayati Yaakob, 45, berkata, walaupun berlaku peningkatan harga barangan asas, namun permintaan terhadap biskut raya masih tinggi.

“Kenaikan harga barangan memberi kesan pada tahun ini kerana modal yang perlu dikeluarkan tinggi berbanding tahun lepas. Sebagai contoh, harga mentega berat 4.8 kilogram tahun lepas hanya RM68 tetapi naik melebihi RM80 tahun ini.

“Saya tidak pernah mengurangkan kuantiti bahan kerana mahu mengekalkan rasa dan tekstur biskut yang dihasilkan,” katanya ketika ditemui di RKT Kesedar Chalil di sini, kelmarin.

Hayati memberitahu, antara biskut yang mendapat permintaan tinggi ialah biskut Almond London, tart nanas, semperit susu dan mazola.

Katanya, kesemua tempahan itu diterima sejak awal bulan Ramadan sekali gus menjadi sumber pendapatan menyambut lebaran bersama tiga anak serta ibunya Zainun Hamat, 71, sejak tujuh tahun lalu.

“Saya memulakan perniagaan selepas melihat permintaan tinggi terhadap biskut raya setiap tahun sehingga ada pelanggan yang sanggup menempah dari luar daerah ini.

“Pada tahun ini, saya menghasilkan hampir 10 jenis biskut. Saya juga menggunakan laman sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram dan WhatsApp sebagai medium penjualan dan dihujani dengan tempahan sebelum Ramadan lagi,” ujarnya.

Hayati berkata, harga biskut yang dihasilkan berharga antara RM28 sehingga RM35 bagi setiap 50 biji.

Katanya, selepas menyiap­kan biskut, dia sendiri menghantar secara terus atau bayar selepas terima (COD) kepada pe­langgannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN