KUALA PILAH: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah di sini hari ini atas tuduhan meninggalkan dua anak yang masih kecil dalam kenderaan dengan keadaan tidak dimatikan enjin tanpa pengawasan di Bazar Kuala Klawang, di Jelebu, bulan lalu.
Tertuduh, suri rumah, Siti Salasiah Jumaah, 25, dan Muhammad Firdaus Shariman, 33, yang bekerja sebagai tukang kebun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan bersama, kedua-duanya didapati mendedahkan dua kanak-kanak iaitu kanak-kanak perempuan berusia lima tahun tujuh bulan dan kanak-kanak lelaki berusia setahun tiga bulan dengan cara meninggalkan kanak-kanak tersebut dalam kenderaan yang tidak dimatikan enjin tanpa pengawasan yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu, dilakukan kira-kira pukul 5.30 petang, di bahu jalan berhadapan tapak Bazar Ramadan Kuala Klawang di Jelebu pada 12 Mac lalu .
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dalam kamar yang sama, Siti Salasiah turut mengaku bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan, pada tarikh, masa dan lokasi yang sama wanita itu sebagai pemandu kenderaan jenis Proton Persona telah meninggalkan kenderaan tersebut dalam keadaan enjin tidak dimatikan tanpa pengawasan dengan cuai telah mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 40 tahun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni,manakala tertuduh tidak diwakili peguam.










