Hanya mampu sediakan jahitan baju raya untuk tiga cucu - Utusan Malaysia

Hanya mampu sediakan jahitan baju raya untuk tiga cucu

NORIDA Harun bersama ketiga-tiga cucu perempuannya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Daching, Ulu Beranang, Lenggeng, Seremban.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang nenek hanya menyediakan baju raya yang dijahitnya sendiri buat tiga orang cucu perempuannya yang telah dijaganya sejak kecil.

Norida Harun, 58, berkata, selepas ibu dan bapa masing-masing bercerai dan tidak menghiraukan lagi mereka, tiga kanak-kanak tersebut, Nurul Umairah Mohd. Shafiq, 10, Nur Alia Sumaira, 7 dan Ainul Madhiah Maisara Mohd. Zulshahrin, 4, hanya menumpang kasih dengan dirinya sahaja.

Norida berkata, sejak ibu bapa kandung cucunya itu bercerai, dia dan suami menjadi tempat cucu-cucunya itu mendapat kasih sayang termasuklah ibu saudara kanak-kanak itu.

“Memang saya menjaga tiga beradik ini sejak mereka kecil lagi. Ketiga cucu-cucu saya ini sudah ibarat macam anak sendiri.

“Ibu bapa kandung mereka langsung tidak menghiraukan keadaan mereka sejak bercerai malah terlibat pula dalam penyalahgunaan dadah jadi saya jaga mereka supaya mereka dapat membesar dalam keadaan yang baik.

“Untuk Aidilfitri ini, saya hanya mampu jahit baju raya untuk mereka sahaja, biar mereka rasai kemeriahan berhari raya walaupun dalam keadaan sederhana,” katanya ketika ditemui di Kampung Daching, Ulu Beranang, Lenggeng di sini.

Norida berkata, walaupun tidak mempunyai sumber pendapatan, dia akan tetap berusaha demi keperluan ketiga-tiga cucunya itu.

“Saya tidak bekerja, wang pun mengharapkan belas ihsan enam orang anak-anak. Suami pula sakit, hidap darah tinggi dan sawan sejak 2018 jadi memang kami tiada sumber pendapatan setelah berhenti berniaga buah.

“Itu sebabnya apabila tiba raya sahaja, cucu-cucu saya tidak pernah meminta apa-apa kerana mereka memahami keadaan neneknya. Mereka pakai apa yang ada sahaja.

” Tapi bila saya dapat rezeki sikit, saya akan menjahit baju raya mereka sendiri. Mestilah saya mahu lihat mereka gembira dan ceria seperti kanak-kanak lain di pagi raya,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×