ERDT bantu Orang Asli kuasai BI

ERDT bantu Orang Asli kuasai BI

FADHLINA Sidek (kanan) meninjau proses pembelajaran Bahan Enhancing Reading Through Digital Text (ERDT) murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis di Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Program Bahan Enhancing Reading Through Digital Text (ERDT) atau bahan bacaan digital dapat meningkatkan penguasaan subjek bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan anak-anak Orang Asli.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penguasaan bahan bacaan dalam kalangan murid termasuk masyarakat Orang Asli berada di tahap memuaskan dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mempertingkatkan usaha itu melalui bahan bacaan digital.

Menurutnya, dasar memartabatkan bahasa Melayu dan mengukuhkan bahasa Inggeris dijalankan secara seiring bagi memastikan murid-murid berkeupayaan menggunakan kedua-dua bahasa dengan baik termasuk dalam konteks penggunaan bahasa tersebut sebagai bahasa kedua dalam pelajaran.

“Saya fikir ini antara inovasi terbaik dalam bidang pendidikan kita yang akan memberikan tumpuan penuh kepada mereka dan memastikan mereka tidak akan tercicir dengan program ERDT.

“Inovasi pendidikan ini diperkukuhkan di peringkat KPM. Dalam konteks ini, banyak gabung jalin inovasi telah dibuat termasuk dengan Asia Pacific University hari ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Bahan Enhancing Reading Through Digital Text (ERDT) Bawah Program Literasi Untuk Murid Orang Asli Dan Pribumi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina memberitahu, bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) hasil kerjasama daripada beberapa rakan sinergi yang lain akan digunakan sepenuhnya dalam usaha mengukuhkan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak Orang Asli mengikut suku kaum masing-masing.

Katanya, teknologi yang digunakan dalam ERDT tersebut boleh mengesan keciciran dalam kalangan pelajar menggunakan kaedah-kaedah inovasi yang dijalankan.

“Inovasi itu penting dalam memastikan tiada kanak-kanak yang terpinggir dalam menguasai bahasa Inggeris memandangkan perhatian akan ditumpukan sepenuhnya kepada keupayaan dalam bentuk pembudayaan teknologi.

“Kita ada beberapa segmen Temiar, Bateq dan suku kaum yang lain. Jadi, saya lihat program ini adalah sangat baik kerana keupayaan inovasi dalam pendidikan untuk mengukuhkan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan warisan, kebudayaan dan ekosistem mereka. Maknanya, Bahasa Inggeris diajar dalam konteks budaya dan masyarakat mereka,” ujarnya.

Fadhlina berkata, perluasan ERDT akan dilaksanakan di peringkat KPM mengikut sekolah berdasarkan demografik institusi tersebut.

“SK Kuala Betis mempunyai suku kaum Temiar yang ramai dan kita menjalankan program di sekolah ini. KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan melihat untuk melakukan perluasan pelaksaan ERDT di kawasan lain.

“Kita harap program ini dapat mencapai objektifnya dalam memastikan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan Orang Asli dan pribumi ini benar-benar tercapai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya