Empat lelaki diberkas, samun kedai serbaneka guna pedang, pisau lapah daging - Utusan Malaysia

Empat lelaki diberkas, samun kedai serbaneka guna pedang, pisau lapah daging

BAHRIN MOHD. NOH (tengah) menunjukkan pedang yang digunakan oleh empat lelaki menyamun kedai serbaneka di Taman Intan, Kluang pada 19 April lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Empat lelaki berjaya ditahan selepas menyamun sebuah kedai serbaneka menggunakan pedang dan pisau melapah daging di Taman Intan, di sini baru-baru ini. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, susulan kejadian pukul 3.05 pagi itu pada 19 April itu, satu serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah di Sri Alam, Masai, Johor Bahru kira-kira pukul 2 pagi, 22 April lalu.

Hasil serbuan itu, pihaknya berjaya menahan empat lelaki berusia antara 25 hingga 42 tahun dengan tiga daripadanya adalah bekas banduan yang baru dibebaskan.

“Pihak polis juga berjaya merampas beberapa jenis rokok, telefon bimbit, pakaian dipercayai digunakan ketika menyamun termasuk sebilah pedang dan pisau serta sebuah kereta Proton Iswara. 

“Keempat-empat suspek juga didapati terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai serbaneka di Pontian pada 14 April lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, hari ini. 

Semakan mendapati suspek pertama mempunyai 18 rekod jenayah serta enam kes dadah, suspek kedua memiliki 10 rekod jenayah serta empat kes dadah dan suspek ketiga merekodkan satu kes jenayah dan tujuh kes dadah manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod jenayah lampau. 

Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

“Ketika menyamun, salah seorang akan menunggu di dalam kereta dan bertindak sebagai pemandu, seorang lagi menjadi pemerhati di luar premis, manakala dua lagi akan masuk ke dalam kedai. 

“Semua suspek dikenakan tahanan reman bermula 22 April dan akan diserahkan ke IPD Pontian hari ini untuk siasatan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×