KOTA BHARU: Pelantikan 64 pelajar dari empat buah sekolah menengah di sini sebagai Duta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merupakan usaha terbaru dalam menarik ramai golongan berkenaan menyambung pengajian di Kolej Komuniti dan Politeknik.
Pengarah Kolej Komuniti Kok Lanas (KKKL) Nik Ahmad Rizal Wan Ismail berkata, pelajar yang bertindak sebagai duta itu menyampaikan maklumat berkait kelebihan bidang pengajian di politeknik dan kolej komuniti.
“Antara kelebihan pelajar yang mengikuti pengajian peringkat sijil di sini (Kolej Komuniti) mereka boleh melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di politeknik, seterusnya peringkat ijazah sarjana muda di mana-mana Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
“Pelajar-pelajar golongan B-40 yang mengikuti pengajian di kolej komuniti juga akan menerima Bantuan Kewangan Kolej Komuniti sebanyak RM2,400 bagi satu semester,” katanya ketika ditemui pada Program Duta TVET@KLCC di sini hari ini.
Nik Ahmad Rizal memberitahu, besar harapan pihaknya supaya Duta TVET ini dapat menyampaikan maklumat sepanjang masa mereka berada di sekolah berkenaan.
Katanya, Duta TVET merupakan program rintis anjuran Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
“Empat sekolah yang terlibat itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu, SMK Salor, SMK Mulong dan SMK Pangkal Kalong,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembelajaran) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Mohd. Nazri Muhammad berbangga melihat pelajar-pelajar dari empat sekolah terbabit dilantik sebagai duta TVET oleh KKKL.
“Sebenarnya penyampaian daripada pelajar-pelajar berkenaan menyeronokkan dan berkesan kepada rakan-rakan mereka berbanding penyampaian oleh pihak lain.
“Jadi kami di Pejabat Pendidikan Negeri Kelantan (PPNK) dan PPD Kota Bharu amat mengalu-alukan kerjasama ini,” katanya.-UTUSAN










