KEDA pastikan anak tempatan Padang Terap isi peluang pekerjaan KRC 

KEDA pastikan anak tempatan Padang Terap isi peluang pekerjaan KRC 

MAHDZIR Khalid menyampaikan geran hak milik kepada penerima pada Majlis Penyerahan Geran Hak Milik dan Program Semarak Kasih Komuniti Desa KEDA di Desa KEDA Semeliang, Kuala Nerang. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan memastikan anak tempatan daerah ini diberi keutamaan mengisi peluang pekerjaan dalam bidang operasi, teknikal dan pengurusan di Kedah Rubber City (KRC). 

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, agensi berkenaan bekerjasama dengan kementerian terlibat bagi memastikan anak tempatan mendapat manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan di daerah itu. 

“Pada sesi temuduga pengambilan pekerja bagi kilang pada 11 Julai lepas, KEDA membawa sebanyak 109 anak dari penempatan ini untuk memohon.  

“Saya difahamkan ribuan hadir pada temuduga itu termasuk dari kawasan lain dan kita berharap anak-anak di Padang Terap diberi keutamaan. Sekiranya tiada yang boleh mengisi kekosongan itu, diberi kepada calon lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Hak Milik dan Program Semarak Kasih Komuniti Desa Keda di Desa KEDA Semeliang Kuala Nerang di sini. 

Beliau berkata, keutamaan bukan sahaja diberikan kepada tenaga kerja peringkat barisan hadapan atau operator pengeluaran malah meliputi bidang teknikal, juruteknik dan pengurusan. 

“Usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan itu menjadi hasrat saya sejak 2017 namun pelaksanaannya berdepan cabaran susulan pertukaran kerajaan. 

“Kalau kerajaan stabil dan tidak bertukar-tukar, saya fikir perkara ini mungkin sudah siap dan sekarang semua sudah masuk bekerja,” katanya.  – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN