Pelajar desak menteri letak jawatan gara-gara peperiksaan dalam banjir - Utusan Malaysia

Pelajar desak menteri letak jawatan gara-gara peperiksaan dalam banjir

RATUSAN pelajar mengibarkan bendera kebangsaan Bangladesh ketika mengadakan protes menuntut peletakan jawatan menteri pendidikan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Ratusan pelajar bertindak menyekat laluan persimpangan utama di ibu negara Bangladesh semalam bagi mendesak peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Ehsanul Hoque Milon

Desakan itu dibuat ekoran kaedah pengendalian peperiksaan akhir sekolah peringkat kebangsaan yang terjejas akibat bencana banjir.

Siri protes yang bermula daripada kempen dalam talian itu mula meluas ke jalan-jalan raya di Dhaka kelmarin dan berlanjutan sehingga semalam sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di beberapa bahagian bandar tersebut.

Demonstrasi itu tercetus berikutan keengganan pihak kementerian pendidikan untuk membatalkan satu kertas peperiksaan Sijil Menengah Tinggi (HSC), meskipun hujan lebat telah menenggelamkan pusat-pusat peperiksaan dan memaksa sebahagian calon menaiki bot untuk sampai ke lokasi ujian.

“Kami akan meneruskan protes ini sehingga menteri berkenaan meletakkan jawatan,” kata Faisal Khan, salah seorang calon peperiksaan HSC kepada agensi berita AFP.

“Selain mengabaikan rayuan kami, beliau turut memperlekehkan kami dengan menyamakan kami seperti ‘ayam daging’ yang mudah selesema. Kami mahu tunjukkan kepada beliau apa yang mampu dilakukan oleh ayam daging ini,” tegas Khan.

Beliau turut membandingkan situasi tersebut dengan protes besar-besaran tajaan pelajar pada 2024 yang berjaya menggulingkan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina.

Sebelum ini, Milon menolak desakan untuk membatalkan peperiksaan HSC tersebut. Namun, beliau menyatakan bahawa calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan akibat banjir akan diberikan peluang kedua kelak. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN