Dua lelaki warga Myanmar terlepas hukuman gantung - Utusan Malaysia

Dua lelaki warga Myanmar terlepas hukuman gantung

DUA lelaki warganegara Myanmar terlepas daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Seremban hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan membunuh seorang lelaki warga India, empat tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua lelaki warganegara Myanmar terselamat daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Seremban hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan membunuh seorang lelaki warga India, empat tahun lalu. 

Hakim, Datuk Rohaini Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie ke atas Maung Maung, 45 dan Mg Aung Aung, 33 setelah mendengar keterangan saksi dan membaca hujahan kedua-dua pihak. 

“Oleh demikian mahkamah melepaskan dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa dipanggil untuk membela diri,” katanya. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh secara bersama telah membunuh Ajith Almaraj, 22, di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Sendayan, di sini, kira-kira pukul 2.30 pagi, 1 Julai 2020. 

Oleh itu, mereka didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Maung Maung diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan manakala Mg Aung Aung diwakili peguam, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris. 

Seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bemula sejak Januari lalu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hadi Hakimi Harun. 

Pada Julai 2020, media melaporkan mayat seorang lelaki warga asing dengan kesan tikaman pada bahagian leher dan belakang kepala ditemui berhampiran premis mencuci kereta di sebuah stesen minyak di Sendayan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN