Data PADU dianalisis, dibentang ke kabinet hujung bulan

Data PADU dianalisis, dibentang ke kabinet hujung bulan

Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan membentangkan reka bentuk program kesejahteraan rakyat berdasarkan hasil analisis maklumat dalam Pangkalan Data Utama (PADU) kepada Jemaah Menteri sebelum akhir bulan ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ketika ini, maklumat diperoleh hasil kemas kini data rakyat dalam sistem PADU masih di peringkat penganalisisan dan pengesahan.

Menurut beliau, sebaik proses tersebut selesai, data yang disahkan tersebut akan dibawa ke Kementerian Ekonomi bagi tujuan mereka bentuk program kesejahteraan rakyat seperti bantuan sosial, rasionalisasi subsidi dan lain-lain.

“Seterusnya, reka bentuk program tersebut akan dikemukakan ke peringkat tertinggi seperti Jemaah Menteri yang disasarkan dilaksanakan pada bulan ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, data diperoleh hasil kemas kini dan pendaftaran rakyat Malaysia melalui PADU akan dimanfaatkan sebaiknya dengan menggabungkan analisis makro dan mikro.

“Ia bakal merangkumi sehingga ke peringkat daerah. Kaedah permodelan dan senario analisis turut akan dilaksanakan,” katanya.

PADU yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu ditutup secara rasmi pada 31 Mac dengan keseluruhan rakyat Malaysia yang mengemaskini maklumat 11.55 juta orang.

Jumlah itu merangkumi 52.6 peratus daripada sasaran keseluruhan kerajaan iaitu 30.9 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas.

Ditanya berhubung pembukaan semula pendaftaran PADU kepada golongan yang masih tidak berbuat demikian, Mohd. uzir berkata, ia hanya akan ditentukan sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.

“Buat masa ini kita masih dalam proses penganalisisan. Persoalan sama ada PADU akan dibuka semula selepas ini akan ditentukan jika ada keperluan, iaitu seperti yang dinyatakan oleh Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 1 April lalu,” katanya.

Rafizi dalam kenyataannya tidak menolak kemungkinan pendaftaran PADU dibuka semula untuk suatu tempoh singkat sekiranya ada keperluan, selepas kerajaan memutuskan meka­nisme subsidi bersasar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN