KOTA TINGGI: Kerajaan Persekutuan akan melihat lebih lanjut cadangan pembinaan hospital di Parlimen Pengerang yang dilihat menjadi keperluan ekoran pembangunan pesat di kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu telah beliau ajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pertemuan baru-baru ini dan mendapat respons yang baik.
“Kawasan Parlimen saya ini terbahagi antara industri minyak dan gas dengan industri pelancongan yang terkenal di peringkat antarabangsa.
“Jadi, itu sebabnya saya sudah sebut kepada Perdana Menteri perlunya satu hospital kerajaan di sini, sebab hospital paling dekat ialah dekat Kota Tinggi jaraknya 50 kilometer.
“Kalau kita tengok sejak kebelakangan ini banyak laporan kematian terutama sekali di Lebuh Raya Desaru-Senai. Kita tidak boleh menafikan keperluan untuk adanya hospital kerajaan. Hospital swasta pun tak ada, tapi klinik swasta banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di Dataran Tasik Bandar Penawar di sini, malam tadi. – UTUSAN










