Cacing parasit dalam sardin diimport dari China melalui Singapura

Cacing parasit dalam sardin diimport dari China melalui Singapura

CACING parasit Anisakis sp. dikesan dalam sardin yang diimport dari China.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) negeri ini merampas 16.3 tan tin sardin dari China yang diimpot melalui Singapura kerana mengandungi cacing parasit Anisakis sp. di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini awal bulan ini.

Pengarahnya, Edie Putra Md. Yusof berkata, parasit itu dikesan dalam sardin berkenaan selepas pihaknya menghantar sampel makanan itu ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Penemuan itu dikesan selepas pihaknya menyita sebuah lori yang membawa muatan sardin dalam tin dianggarkan seberat 16,320 kilogram (kg) bernilai RM83,879 melalui pintu masuk negara.

“Sitaan terhadap lori itu dibuat berikutan sardin dalam tin itu diimport tanpa permit import daripada MAQIS.

“Susulan itu, anggota MAQIS membuat pemeriksaan lanjut secara fizikal terhadap sardin dalam tin dari China itu sebelum mendapati kehadiran bendasing dalam tin sardin berkenaan.

“Beberapa sampel tin sardin kemudian telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut sebelum bendasing itu disahkan sebagai cacing parasit Anisakis sp,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun  atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurutnya, MAQIS komited dalam menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan tiada perosak dan penyakit yang memasuki  negara demi menjamin keselamatan makanan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×