KOTA BHARU: Seorang peniaga warung terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi Kota Bharu di sini semalam, menggantikan hukuman mati dengan penjara selama 35 tahun, selepas dia didapati bersalah membunuh seorang lelaki di Kerteh, Terengganu, sembilan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Terengganu terhadap Mohamad Zulkifli Ismail, 59.
“Hukuman mati diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 35 tahun bermula dari tarikh tangkap iaitu pada Disember 2015,” kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Terengganu pada 27 Mei 2018 menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohamad Zulkifli selepas didapati bersalah membunuh pengutip besi buruk, Zulkefle Abdullah, 37.
Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas peniaga warung itu kerana membunuh mangsa di Terengganu sehingga kisah tersebut tular dalam media sosial kononnya kejadian bunuh itu berlaku bagi mempertahankan diri.
Terdahulu, peguam Mazlan Md. Zain yang mewakili Mohamad Zulkifli menegaskan, anak guamnya merupakan mangsa dalam kes itu semasa usaha menangkap perompak yang mencuri besi berhampiran rumahnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal @ Zainol bagaimanapun membantah dan memohon hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dikekalkan memandangkan tertuduh mengejar pelaku yang melarikan diri.
Norzilati berhujah, tertuduh juga menikam dada pelaku dan perbuatan itu dianggap terlalu kejam kerana membiarkan mangsa mati di lokasi kejadian. – UTUSAN









