Belasah anak tiri sampai mati, ‘Boy Tiger’ dipenjara 35 tahun

Belasah anak tiri sampai mati, ‘Boy Tiger’ dipenjara 35 tahun, 12 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang lelaki digelar sebagai ‘Boy Tiger’ terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan semalam menggantikannya dengan hukuman penjara 35 tahun dan dikenakan 12 sebatan kerana membunuh anak tirinya yang berusia tiga tahun pada 2018.

Khairul Izaini Khairuddin, 37, dilihat membelasah Muhammad Qairil Aqmal Abdul Hakim secara bertubi-tubi, perutnya ditumbuk, badannya dipijak serta dihempas ke lantai, lehernya dicekik manakala kepalanya dihentak ke dinding sehingga berdarah.

Ibu kandungnya (saksi mata) yang melihat kejadian itu bagaimanapun tidak berdaya menghalangnya kerana sedang sarat mengandung ditambah pula perayu seorang yang panas baran.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuannya terhadap hukuman.

Khairul Izaini disabitkan membunuh Muhammad Qairil Aqmal berusia tiga tahun empat bulan di ruang tamu di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Indah, Ampang dekat sini kira-kira pukul 11 pagi, 8 November 2018.

Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes itu berpuas hati bahawa punca kematian akibat kecederaan di kepala selain mengalami luka dalaman iaitu koyakan pada pankreas dan keretakan serta pecah tulang tengkorak.

Ketika membacakan alasan penghakiman ringkas, Hakim Ahmad Zaidi berkata, mahkamah menolak pembelaan perayu bahawa dia tidak waras ketika kejadian.

Pada hemat panel itu, terdapat keterangan bahawa perayu mengetahui perbuatan terhadap anak tirinya apabila dia berhenti membelasah mangsa selepas menyedari kepalanya berdarah manakala badannya terkulai dan tidak bermaya.

Fakta turut menyebut, perayu bersama-sama isteri (saksi pendakwaan ke-14) kemudian membawanya ke sebuah klinik dan doktor yang memeriksanya mendapati kanak-kanak itu sudah tidak bernyawa manakala pasangan itu berbohong mangsa terjatuh di bilik air.

“Pada hemat kami, tindak tanduk dan kelakuan tertuduh adalah bertentangan dengan perangai orang yang tidak waras sebaliknya ia konsisten dengan perbuatan individu waras yang sedar dengan keadaan persekitarannya.

“Jika tidak waras dan tidak peka dengan apa yang berlaku, mengapa berhenti daripada terus membelasah dan kenapa pula perlu membawa ke klinik? Hanya seseorang yang waras akan mengetahui mangsa mengalami kecederaan dan perlu dirawat.

“Jika dia tidak waras, dia tidak akan tahu bahawa hospital atau klinik adalah tempat untuk mendapatkan rawatan. Tindakannya berbohong juga jelas menunjukkan dia cuba menyembunyikan perbuatannya kerana mengetahui ia salah di sisi undang-undang,’’ ujar Hakim Ahmad Zaidi.

Sehubungan itu, panel berkenaan bersetuju terhadap dapatan hakim bicara yang menolak pembelaan ketidakwarasan akal yang dibangkitkan oleh perayu.

Dalam pembelaannya, perayu berkata, dia pernah menjalani rawatan sakit mental secara berulang dan diberi ubat selain mendakwa akan menjadi tidak waras jika tidak mengambilnya.

“Dalam pembelaannya, perayu berkata dia berhenti mengambil ubat ketika kejadian tersebut,” ujar hakim berkenaan.

Panel itu turut bersetuju terhadap dapatan hakim bicara yang menolak pembelaan melalui keterangan ahli keluarga berhubung tahap mental tertuduh yang disifatkan sebagai saksi berkepentingan.

Mahkamah sebaliknya menerima keterangan saksi pakar hasil pemeriksaannya mendapati semasa kejadian perayu sedar dan mengetahui perbuatannya terhadap mangsa.

Mahkamah berpuas hati wujud keterangan melimpah ruah dan saksi-saksi pendakwaan yang mantap dan tidak tergugat menjadikan tidak wajar bagi panel itu untuk mengusik keputusan hakim bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN