Bekas tukang masak bunuh teman wanita, terlepas hukuman mati - Utusan Malaysia

Bekas tukang masak bunuh teman wanita, terlepas hukuman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman mati terhadap seorang bekas tukang masak restoran berusia 72 tahun dan menggantikannya dengan hukuman penjara 31 tahun kerana membunuh teman wanita yang enggan mengahwininya, 13 tahun lalu.

Othman A. Aziz disabitkan membunuh Ratna Suffizahriyanti Omar, 23, di antara pukul 8.45 malam, 2 Mei 2011 dan 12.45 pagi keesokannya di bilik sebuah rumah di Jalan Stadium, Alor Setar, Kedah.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal sebulat suara menggantikan hukuman gantung dengan hukuman pemenjaraan selepas membenarkan permohonan semakan bapa dua anak itu.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 3 Mei 2011.

Panel berkenaan memutuskan demikian selepas mengambil kira pandangan kedua-dua pihak serta fakta bahawa Othman (pemohon) telah menyerah diri kepada pihak polis selepas kejadian tersebut.

Terdahulu, peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud berhujah agar permohonan semakan itu dibenarkan kerana anak guamnya telah menjalani hukuman penjara hampir 13 tahun.

Pembelaan berhujah agar mahkamah menimbangkan fakta bahawa Othman memaklumkan kepada majikannya dia telah melakukan kesalahan sebelum menyerah diri kepada pihak polis.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Amril Johari berhujah, mangsa yang ketika kejadian berusia 23 tahun mengalami kecederaan di bahagian dada dan belakang badan akibat 26 kesan tikaman dan empat luka kecederaan kerana dikelar.

Keterangan kes menyatakan, Ratna Suffizahriyanti ditemukan maut dalam bilik berkenaan oleh sepasukan polis ekoran laporan yang dibuat oleh Othman sendiri.

Terdahulu, panel itu mendengar 29 permohonan semakan untuj mengetepikan hukuman mati bagi pelbagai kesalahan termasuk membunuh dan pengedaran dadah serta satu permohonan terhadap pemenjaraan sepanjang hayat bagi kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Senjata Lebih Berat) 1971.

Kesemua 29 pemohon termasuk dua warganegara Indonesia dan seorang rakyat India terlepas hukuman mati dan digantikan hukuman penjara di antara 30 tahun dan 37 tahun serta ada yang dikenakan 12 kali sebatan.

Permohonan itu dibuat di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN