‘Arwah Noorfarahimi jadi ketua dalam keluarga’

‘Arwah Noorfarahimi jadi ketua dalam keluarga’

Noorfarahimi Mohd. Saedy (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pegawai Waran II (PW II) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Noorfarahimi Mohd. Saedy yang terkorban dalam nahas helikopter di Padang Sitiawan, Lumut, Perak, seorang yang mengambil berat adik-beradik serta ipar-duai­nya.

Perkara tersebut diakui adik iparnya, Nur Shaqirah Mat Isa, 34, ketika ditanya mengenai sikap anak keempat daripada lima beradik itu ketika hayat­nya.

Menurut Nur Shaqirah, arwah yang berusia awal 40-an sangat rapat dengan hampir semua orang yang dikenalinya.

“Kiranya kalau ada apa-apa isu (berbangkit) dan sebagai­nya, dia (Noorfarahimi) akan jadi ‘kepala’. Kalau ‘plan’ (rancang) nak ke mana-mana pun sama (akan bertindak sebagai ketua),” katanya kepada Utusan Malaysia.

kata Nur Shaqirah, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah kakak iparnya itu ialah ketika Aidilfitri lalu kerana dia tinggal di Jitra, Kedah manakala Noorfarahimi pula menetap di Lumut.

Katanya, kehilangan wanita yang mesra disapa sebagai Kak Farah itu sangat dirasai oleh ahli keluarga terdekat dan sahabat-handai.

Difahamkan, Noorfarahimi telah berkhidmat hampir 20 tahun sebagai anggota TLDM dan akan bersara awal tahun depan.

Di Lumut, jasad Pegawai Waran II, Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi, 41, yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut semalam dilihat seolah-olah sedang tidur.

Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi

Perkara itu dikongsikan bapa Allahyarham, Mohd. Termizi Abdul Ghani, 68, ketika pengecaman mayat anak sulung daripada tujuh beradik itu di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut.

Menurut Mohd. Termizi, dia dan isteri, Hasnah Yasin, 67, masuk ke Unit Forensik HAT untuk melihat jasad Mohd. Shahrizan dan raut wajah anaknya itu kelihatan tenang.

“Dua kali saya masuk untuk lihat, pertama bersama isteri dan kedua bersama adik arwah. Keadaan wajah arwah okay, muka dia pun tenang seperti tidur.

“Cuma doktor maklumkan arwah mengalami kecede­raan tangan dan kaki,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bunga Tanjung, Lekir di sini semalam.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa Mohd. Shahrizan sekitar pukul 10 pagi selepas dihubungi anaknya yang memaklumkan helikopter terhempas namun tidak memberi­tahu keadaan sebenar anaknya itu.

Katanya, dia yang berada di Ipoh segera berpatah balik ke Lumut dan beranggapan insiden tersebut tidak serius sehingga mengorbankan mang­sa.

Di Seremban, persiapan pengebumian dilakukan jiran jika jena­zah Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, 35, dibawa pulang ke rumah keluarganya di Taman Senawang Perdana di sini.

Jiran kepada keluarga mang­sa, Mohd. Nazron Abu Samah, 55, berkata, sejurus mengetahui kejadian menimpa anaknya, ibu bapa kepada Allahyarham yang berusia 60-an telah ke Perak bersama salah seorang adik pe­rempuan Allahyarham.

“Semasa saya pulang ke rumah dalam pukul 11 pagi, isteri saya sudah ada di rumah keluarga Allahyaram bersama beberapa orang jiran yang lain, kami turut membantu membuat persiapan sekiranya jenazah dibawa ke sini.

“Ikut kata bapa Allahyarham ada permintaan untuk dikebumikan di sini namun bergantung kepada isteri Allahyarham memandangkan isterinya orang Manjung, Perak,” katanya ketika ditemui di Taman Senawang Perdana di sini.

Sementara itu, Mohd. Nazron yang diamanahkan untuk menjaga rumah keluarga Allahyarham sepanjang keluarga itu ke Perak berkata, Mohammad Amirulfaris seorang yang baik dan menghormati orang tua dan rakan-rakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN