PETALING JAYA: Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) sah dan terpakai di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu menolaknya baru-baru ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam berkata, akta yang mengehadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika iaitu 5.5 kilometer dari kawasan pantai itu hanya terbatal jika ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah.
“Ingin ditegaskan, menjadi pendirian Kerajaan Persekutuan bahawa Akta 750 telah dibuat dan diluluskan oleh Parlimen secara sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun DUN Terengganu membuat keputusan menolak pelaksanaanya, namun ia masih sah dan terpakai di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu, melainkan ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah,” katanya.
Pejabat Perdana Menteri berkata, tujuan Akta 750 digubal adalah bagi mengadakan peruntukan mengenai laut wilayah Malaysia dan menjaga keutuhan sempadan wilayah.
Akta terbabit juga bagi melindungi hak kedaulatan Malaysia dan menjamin keutuhan keselamatan serta integriti wilayah. Penggubalan Akta 750 juga memenuhi obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).
Kata kenyataan itu lagi, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memastikan hak kedaulatan Malaysia termasuk perairan negara sentiasa dilindungi.
Khamis lalu, pada sidang DUN Terengganu, Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri itu menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana didakwa membataskan hak negeri menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah Terengganu.
Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, DUN Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










