MELAKA: “Saya sudah lama dinafikan hak sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan. Nama sahaja wakil rakyat Barisan Nasional (BN), tetapi dilayan lebih teruk daripada pembangkang.”
Itu pengakuan dibuat ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis ketika ditanya adakah beliau masih menerima peruntukan kerajaan negeri sama seperti diperoleh 20 ADUN BN dan lima ADUN Pakatan Harapan (PH) di bawah kerajaan perpaduan Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Ia susulan beliau tidak lagi menjadi Pengerusi Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rembia yang mana jawatan itu kebiasaannya disandang ADUN kerajaan.
Muhammad Jailani berkata, semua peruntukan termasuk kemudahan Japerun telah ditarik balik bermula 1 November 2023 walaupun namanya kekal disenaraikan sebagai ADUN dalam blok kerajaan.
“Sebab itu saya kata di Melaka bukan dua ADUN pembangkang, tetapi tiga. Walaupun saya wakil rakyat kerajaan tetapi dilayan lebih teruk daripada pembangkang di mana Japerun saya dihalang untuk masuk dan peruntukan ditarik sama sekali.
“Saya seolah-olah dihalang berkhidmat untuk rakyat meskipun saya diberikan mandat oleh pengundi di Rembia. Tidak pernah berlaku lagi dalam sejarah kerajaan negeri, nama dalam senarai ADUN kerajaan tetapi dilayan seperti wakil rakyat pembangkang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Ab. Rauf bahawa, kerajaan negeri tidak akan mengikut jejak langkah Kerajaan Persekutuan yang secara dasarnya telah bersetuju mempertimbang untuk menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Ab. Rauf berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak membincangkan mengenai peruntukan atau bantuan kepada dua ADUN pembangkang iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Bemban.
Muhammad Jailani yang sebelum ini menjawat portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri ketika era pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali merupakan antara yang lantang mengkritik peralihan tampuk kepemimpinan kerajaan negeri daripada Sulaiman kepada Ab. Rauf pada Mac 2023.
Japerun Rembia kini dipengerusikan ADUN Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah.
Dalam pada itu, menjawab berkenaan status keahliannya dalam UMNO, Muhammad Jailani berkata, beliau digantung selama enam tahun oleh parti.
“Kalau penggantungan ini dijadikan sebab peruntukan ditarik balik, ia tidak logik sebab saya masih ADUN kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN










