8 laporan diterima berkaitan logo di tapak kasut seakan kalimah Allah - Utusan Malaysia

8 laporan diterima berkaitan logo di tapak kasut seakan kalimah Allah

israel
Razarudin Husain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini menerima lapan laporan berhubung bentuk dan tulisan disyaki menyerupai kalimah Allah di bahagian tapak kasut jenama terkenal.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua laporan itu dibuat hari ini di empat buah negeri.

“Kesemua laporan membabitkan dua masing-masing di Johor, Pahang dan Terengganu manakala satu lagi masing-masing di Pulau Pinang dan Kedah.

“Justeru, kita membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Razarudin dilaporkan berkata, pihaknya mengesahkan membuka satu kertas siasatan berkaitan jenama kasut yang memaparkan logo seakan dipercayai kalimah Allah pada tapaknya yang tular di media sosial hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan agama Islam sekali lagi dibangkitkan selepas sebuah jenama didakwa memaparkan logo seakan dipercayai seakan kalimah Allah di tapak kasut.

Pembeli kasut tersebut, Mohd. Haridz dilaporkan, dia membeli sepasang kasut daripada jenama tersebut untuk isterinya bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut selepas melihat kasut tersebut mempunyai kalimah Allah di bahagian tapak.

“Kasut ni lepas saya beli, terus tidak buka dan terus letak dalam bilik (tetap) hari ini saya terdetik hati nak tengok.

“Apabila buka (semula) nampak ada (dakwaan) kalimah Allah. Pada mata saya jelas sangat kalimah Allah (di tapak kasut). Saya tidak tahu sama ada ia menjadi trend ke macam mana. Agak kurang ajar,” katanya dalam sebuah video yang tular di Facebook.

Menerusi resit yang dipaparkan kasut wanita itu berharga RM100 sepasang dan dipercayai dibeli di pusat beli belah Kuantan Parade.

Mengulas lanjut, Haridz berkata, dia akan kedai itu semula bagi meminta penukaran kasut atau meminta wangnya semula.

“Untuk orang di luar sana kalau nak beli kasut jenama ini, semak dahulu dan pastikan tiada logo (kalimah Allah),” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN