284 tan sampah ‘raya’ dikutip di Perlis

284 tan sampah ‘raya’ dikutip di Perlis

PARA pekerja pembersihan dan pembantu penguat kuasa melaksanakan operasi khas pembersihan bersempena Hari Raya Aidilfitri di Perlis.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Lebih 284 tan metrik sampah dikutip hanya dalam tempoh dua hari iaitu pada hari pertama dan kedua le­baran bersempena operasi khas pembersihan bersempena Hari Raya Aidilfitri di negeri ini.

Malah, ketika umat Islam sibuk meraikan lebaran bersama ahli keluarga, kira-kira 95 pekerja pembersihan pula bertugas mengutip sampah bermula pada malam raya bagi memberi keselesaan kepada orang ramai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Perbada­nan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, Shamsuharizal Basir berkata, pada 10 April lalu sebanyak 140.03 tan metrik sampah dikutip manakala pada hari raya kedua membabitkan kutipan sebanyak 144.45 tan metrik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sampah berkenaan kebanyakannya membabitkan sisa makanan, bekas plastik, sampah pukal seperti perabot dan sebagainya.

Ujarnya, operasi kutipan berkenaan dijalankan SWCorp bersama syarikat konsesi Environment Idaman dengan sampah tersebut kemudian dilupuskan di tapak pelupusan sisa pepejal Sanitari Rimba Emas di sini.

“Operas kutipan sampah bermula pada malam raya dari pukul 12 tengah malam sehingga pukul 7 pagi manakala pada hari raya pertama bermula dari 1 tengah hari hingga 6 petang. Operasi khas pada tahun ini melibatkan 34 jentera pembersihan oleh syarikat konsesi.

“Selain itu, SWCorp juga memfokuskan kepada 22 lokasi kutipan tong pusat di jalan-jalan utama, jalan protokol termasuk di masjid-masjid.

“Syarikat konsesi juga membekalkan 30 unit tong tambahan iaitu 25 unit tong pusat serta lima unit tong roro dalam operasi pada kali ini,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap operasi khas ini dapat memberikan keselesaan kepada penduduk di Perlis bagi memastikan Syawal yang diraikan dalam keadaan bersih dan selesa.

Katanya, SWCorp juga berharap rakyat negeri ini dapat mengamalkan budaya bersederhana dalam penyediaan makanan.

“Rancang menu-menu yang akan disediakan dan elakkan pembaziran terutamanya sewaktu mengadakan jamuan hari raya.

“Kita juga ingin berpesan kepada penduduk agar menggunakan kemudahan tong yang disediakan dengan sebaiknya. Jangan membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini