JERANTUT: Seramai 214 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Jengka 24 di sini termasuk sembilan anak yatim ceria menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Ketua Peneroka tanah rancangan itu, Razak Daud.
Razak berkata, sumbangan itu diharap menceriakan murid terbabit menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan membuat persediaan menyambut lebaran.
“Duit raya ini sumbangan ibu bapa di sekolah ini, ketua peneroka dan pejabat Felda di sini untuk kita menyantuni golongan memerlukan khususnya masyarakat yang menetap di kawasan ini.
“Sempena Aidilfitri yang bakal tiba, kita mahu pastikan ada bantuan untuk anak yatim, asnaf dan golongan kurang berkemampuan di Felda Jengka 24 ini,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Razak berkata, semoga sumbangan kecil yang disalurkan itu dapat mengukir senyuman besar di wajah anak-anak terbabit.
“Apa yang penting, kita mahu mereka seronok serta ceria menyambut kemeriahan Aidilfitri tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, selain sumbangan duit raya, beliau pada minggu lalu menyampaikan beg sekolah kepada 19 murid memerlukan di SK Felda Jengka 24.
“Saya menyampaikan sumbangan itu mewakili Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Harris Salleh,” katanya. – UTUSAN










