SEREMBAN: Seramai 1,092 penerbit dan penulis buku penerbitan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam kalangan akademik dan pentadbir dalam dan luar USIM dari tahun 2013 sehingga 2022 masing – masing menerima sejumlah RM194,870 royalti hasil 59,099 naskhah buku terjual dalam tempoh tersebut.
Kesemua mereka menerima royalti itu pada Majlis Kalam Bitara 2024 yang diadakan di Bangi, Selangor semalam.
Pada majlis itu, empat kategori anugerah turut diberikan kepada penulis dan pengarang iaitu penerima royalti, buku terlaris, penulis aktif dan pengurusan jurnal terbaik bagi tahun 2019 hingga 2022.
Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, majlis tersebut merupakan simbolik pengiktirafan dan penghargaan kepada penulis buku dan jurnal atas sumbangan ilmu pengetahuan dalam bentuk penulisan karya ilmiah yang memberi manfaat dan impak kepada universiti dan ummah.
“USIM amat menyokong warganya tidak kira dalam kalangan akademik mahupun pentadbir untuk menyumbang kepada kemajuan universiti antaranya menerusi pembangunan bakat terbaik,” katanya.
Pada majlis tersebut turut dilancarkan buku baharu serta penubuhan Kelab Bitara USIM yang bertujuan menyediakan landasan kepada pelajar dalam penglibatan kegiatan perbukuan dan penerbitan.-UTUSAN.










