10 kawasan penempatan di Seremban, Rembau terjejas banjir kilat - Utusan Malaysia

10 kawasan penempatan di Seremban, Rembau terjejas banjir kilat

PENDUDUK membersihkan kediaman mereka yang terjejas susulan kejadian banjir kilat di Kampung Blok C Ampangan, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 10 buah kawasan penempatan penduduk membabitkan dua daerah iaitu Seremban dan Rembau dilanda banjir kilat bermula lewat petang tadi susulan kejadian hujan lebat berterusan.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Lt. Kol. (PA) Shamil Ithman berkata, sehingga pukul 8 malam tadi, kawasan yang terlibat banjir di daerah ini adalah Kampung Ismail, Kampung Semarak, Kampung Blok C dan B Ampangan, Kampung Jiboi, Taman Happy, Kampung Batu 3, Mambau, Kampung Kuala Sawah dan Taman Angsamas Batu 5.

“Dalam kejadian ini, kami menerima laporan kira-kira pukul 7.05 petang dari penghulu dan orang awam berkenaan banjir di beberapa lokasi di kawasan Seremban.

“Oleh itu, sebanyak tiga pasukan dipecahkan untuk membuat tinjauan, penyelamatan serta pemantauan paras air di kawasan terjejas dalam keadaan cuaca yang masih hujan,” katanya hari ini. 

Di Rembau pula, Shamil berkata, sebuah kampung di Kota iaitu Kampung Titian Bintangor terjejas disebabkan banjir kilat dan di kawasan tersebut keadaan hujan masih lagi lebat sehingga pukul 8 malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Seremban, Mohamad Najib Mustafa berkata, berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Linggi di Kampung Linsum mencatatkan trend menaik.

“Bacaan aras air semasa yang direkodkan adalah 11.38 meter iaitu di paras bahaya berbanding normal pada paras tujuh meter dan masih terdapat trend menaik.

“Paras air Sungai Linggi di Dusun Nyior pula mencatatkan di paras amaran iaitu 44.53 meter namun terdapat trend menurun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bacaan data hujan yang diperoleh dari Stesen Sendayan merekodkan kadar 91 milimeter (mm) dalam tempoh sejam.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN