Jemaah Menteri cadang tempoh penelitian RCI TH dilanjutkan

Jemaah Menteri cadang tempoh penelitian RCI TH dilanjutkan

AHMAD Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET Mara Negeri Sembilan 2026 di Seremban hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jemaah Menteri mencadangkan supaya tempoh penelitian laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) dilanjutkan bagi menilai keberkesanan usaha pemulihan yang dilaksanakan pengurusan baharu institusi itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan penelitian itu bukan hanya membabitkan tempoh 2014 hingga 2022 sebaliknya diteruskan sehingga tempoh selepas pengurusan TH mengambil alih pentadbiran institusi berkenaan.

Menurutnya, lanjutan tempoh itu penting bagi menilai keberkesanan pelaksanaan syor-syor RCI serta usaha pemulihan yang dilaksanakan oleh pengurusan baharu.

“Kami (Jemaah Menteri) juga telah mencadangkan agar jeda waktu untuk dapatan kajian ini dilanjutkan bukan hanya sehingga tahun 2022 tapi dilanjutkan daripada 2014 hingga 2022 dan 2022 hingga apabila pengurusan dan kepengurusan bahaaru TH mengambil alih.

“Cadangan ini adalah bagi memperlihatkan bahawa usaha-usaha pemulihan yang dilaksanakan benar-benar dibuat berdasarkan syor-syor dalam laporan RCI.

“Kami juga mencadangkan supaya laporan RCI TH didedahkan kepada umum serta dibentangkan menerusi sidang khas Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET Mara Negeri Sembilan 2026 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelaksanaan syor-syor RCI itu akan memperkukuhkan portfolio pelaburan dan aliran tunai TH sekali gus memberi manfaat kepada pendeposit.

Katanya, keuntungan yang lebih baik mampu membantu mengurangkan beban kos menunaikan ibadah haji yang semakin meningkat akibat kenaikan kos penerbangan, penginapan dan pengurusan.

“Saya fikir laporan ini bukan bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mengandungi syor-syor yang perlu dilaksanakan demi memperkukuh TH.

“Saya berharap laporan ini tidak dipolitikkan atau dimanipulasikan, lebih-lebih lagi ketika kempen PRN Negeri Sembilan sedang berlangsung,” katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan tular membabitkan pemberian ‘duit sogok’ kepada pengundi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, perkara itu perlu disiasat oleh pihak berkuasa sekiranya mempunyai bukti dan saksi yang mencukupi.

“Jika didapati benar dan terdapat bukti serta saksi, saya serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan.

“Saya tidak fikir perkara seperti itu sepatutnya berlaku dan jika benar dilakukan oleh mana-mana pihak, amalan sedemikian perlu ditolak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid menafikan dakwaan kononnya persefahaman antara parti-parti tertentu tidak serasi sebagaimana dimainkan di media sosial.

Beliau berkata, dakwaan tersebut hanya lontaran pihak yang tidak senang melihat persefahaman politik yang sedang dibina.

“Itu hanyalah pandangan pihak tertentu. Kita tunggu dan lihat nanti, mudah-mudahan segala telahan mereka itu tidak menjadi kenyataan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN