JELEBU: Seramai 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia akan dihantar pulang ke Myanmar hasil rundingan dan hubungan baik antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan Myanmar untuk menerima semula pelarian berkenaan adalah hasil hubungan diplomatik yang baik selain usaha rundingan yang dijalankan kerajaan.
“Sekarang ini dia (Myanmar) setuju ambil 5,000 orang Rohingya dari Malaysia, ambil 300,000 orang Rohingya dari Bangladesh, hantar balik ke Myanmar.
“Sebab apa? Kita runding. Sebab itu hubungan baik kita ini dapat membantu menyelesaikan perkara yang menggugat keamanan negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama PMX di DUN Chennah Simpang Durian, Jelebu hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil pendirian tegas dalam isu pelarian Rohingya bagi memastikan mereka tidak mengganggu kehidupan dan keamanan rakyat Malaysia.
Katanya, Malaysia mempunyai undang-undang dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengganggu ketenteraman awam.
“Saya sudah beri amaran dan semalam juga saya sudah arahkan kepada Ketua Polis Negara bahawa saya tidak mahu Rohingya ganggu jalan raya dan tempat-tempat awam.
“Ini negara Malaysia. Tak boleh dia (Rohingya) ganggu kita. Jadi polis ambil tindakan, pindahkan dia,” katanya.
Menurut Anwar, tindakan penghantaran semula pelarian Rohingya perlu mengambil kira keadaan negara asal mereka.
Katanya, pelarian Rohingya yang berada di Malaysia perlu mematuhi peraturan serta tidak mengganggu kehidupan rakyat tempatan.
“Hantar balik. Hantar balik ke mana? Hantar ke Myanmar. Dah hantar, sana tak mahu terima. Jadi kita kena simpan dekat satu tempat.
“Sebab itu saya beritahu kepada orang Myanmar ini. Orang Rohingya duduk baik-baik, kita sediakan tempat asing.
“Kamu jangan ganggu perniagaan orang Malaysia. Kamu jangan ganggu lalu lintas, tempat-tempat Malaysia duduk. Nanti orang marah. Ini negara kita,” katanya.
Tambah beliau, tindakan tegas kerajaan bukan kerana mahu bermusuh dengan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan kepentingan rakyat Malaysia terus terpelihara.
“Malaysia ini negara kita. Jangan orang lain ganggu. Itu sebabnya maka kita memang tegas,” katanya.-UTUSAN










