PUTRAJAYA: Sebanyak 343,836 peluang pekerjaan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditawarkan melalui platform MYFutureJobs dalam tempoh enam bulan tahun ini sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi industri terhadap tenaga kerja berkemahiran tempatan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, graduan TVET kini mempunyai prospek kerjaya yang semakin cerah apabila permintaan terhadap tenaga kerja mahir terus meningkat dalam pelbagai sektor ekonomi.
Katanya, perkembangan tersebut membuktikan bahawa kemahiran teknikal dan vokasional semakin mendapat pengiktirafan dalam pasaran pekerjaan, selari dengan keperluan industri yang sedang melalui transformasi teknologi serta pendigitalan ekonomi.
Beliau berkata, peluang pekerjaan berkaitan TVET yang diiklankan melalui MYFutureJobs menawarkan purata gaji sebanyak RM3,658 sebulan, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi industri terhadap tenaga kerja berkemahiran.
“Malah, bagi bidang-bidang tertentu, kadar gaji yang ditawarkan adalah lebih tinggi bergantung kepada pengalaman, lokasi pekerjaan serta pensijilan kompetensi yang dimiliki oleh graduan.
“Keadaan ini menunjukkan bahawa peningkatan kemahiran dan pensijilan profesional mampu membuka peluang kepada pendapatan yang lebih kompetitif,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, Ppeluang pekerjaan yang ditawarkan meliputi pelbagai sektor strategik termasuk pembuatan, automasi, kejuruteraan, penyelenggaraan, elektrik dan elektronik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembinaan, automotif, semikonduktor serta pengendalian mesin.
Katanya, lepelbagaian sektor ini membuktikan bahawa graduan TVET mempunyai prospek kerjaya yang luas merentasi pelbagai industri berimpak tinggi yang menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Potensi kerjaya ini turut dibuktikan melalui kisah seorang pencari kerja yang berjaya memperoleh penempatan pekerjaan sebagai Juruteknik bidang automotif di Syarikat Proton menerusi platform MYFutureJobs.
“Kisah ini menggambarkan bagaimana padanan pekerjaan yang tepat serta sokongan perkhidmatan pekerjaan PERKESO melalui MYFutureJobs mampu membantu pencari kerja membina kerjaya dalam bidang yang diminati,” katanya.
MYFutureJobs dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membantu pelajar mengenal pasti pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran, kelayakan, minat dan lokasi mereka.
Pelajar TVET juga boleh mendapatkan maklumat julat gaji, memahami keperluan majikan serta mengikuti program kerjaya dan temu duga terbuka melalui www.myfuturejobs.gov.my. – UTUSAN










