Warga emas didakwa salah guna wang syarikat - Utusan Malaysia

Warga emas didakwa salah guna wang syarikat

SIAW Ah Nyok (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan menyalahgunakan wang syarikat untuk dirinya sendiri pada 2021.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas setiausaha syarikat badan pengurusan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan wang syarikat untuk dirinya sendiri sebanyak RM4,500 antara bulan Januari hingga Oktober 2021.

Tertuduh, Siaw Ah Nyok, 77, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai Setiausaha Rasah Jaya Court Management Corporation telah secara tidak jujur menyalahgunakan harta untuk dirinya sendiri iaitu wang berjumlah RM4,500 daripada akaun bank milik syarikat itu.

Perbuatan itu dilakukan di Ambank (M) Berhad di Taman Rasah Jaya, Seremban antara bulan Januari hingga Oktober 2021. 

Berikutan itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi sebutan fakta dan serahan dokumen serta menawarkan jaminan sebanyak RM7,000.

Pada masa sama, beliau turut memohon mahkamah meletakkan syarat tambahan kepada tertuduh supaya melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai. 

Meor Sulaiman kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri pada hari Sabtu pertama setiap bulan di pejabat SPRM sehingga kes selesai. Kes disebut semula pada 25 April depan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN