Wanita PKR Pulau Pinang harap isu kantin sekolah tidak dipolitikkan

Wanita PKR Pulau Pinang harap isu kantin sekolah tidak dipolitikkan

NURHIDAYAH CHE ROSE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Keputusan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk membenarkan kantin sekolah kekal beroperasi sepanjang bulan Ramadan tidak sepatutnya dipolitikkan oleh pembangkang.

Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Nurhidayah Che Rose berkata, hal ini demikian kerana, ia bukan sahaja mampu mengajar para pelajar untuk bertoleransi, malah mampu mendidik pelajar yang beragama Islam supaya memahami erti puasa yang sebenar.

Pada masa yang sama katanya, langkah membuka kantin sekolah itu dapat meringankan beban kaum ibu termasuk dalam kalangan bukan Islam untuk menyiapkan bekalan makanan untuk anak mereka pada waktu pagi.

Sehubungan itu, Nurhidayah berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya sebelum ini yang mendakwa bahawa tindakan yang diambil oleh Fadhlina adalah keterlaluan, tidak menghormati bulan Ramadan serta sengaja mencetuskan polemik.

“Mungkin beliau (Ahmad Yahya) dan rakan seperjuangannya kurang peka bahawa tidak semua kaum ibu sempat untuk menyiapkan bekalan makanan untuk dibawa oleh anak-anak di waktu pagi di samping tanggungjawab dan kewajipan lain yang dipikul oleh wanita di masa kini.

“Tidak mungkin kita tergamak membiarkan pelajar-pelajar ini berlapar sekiranya kantin sekolah tidak dibuka, bukan? 

“Islam merupakan agama yang indah dan ia mengajar kita untuk bertoleransi serta mengambil berat tentang kekangan yang dihadapi oleh semua orang termasuk masyarakat yang bukan Islam.

“Dalam hal ini, Datuk Ahmad Yahya perlu sedar bahawa keputusan yang diambil oleh YB Fadhlina (Sidek) adalah sebagai seorang Menteri yang menjaga hal ehwal sekolah dan pendidikan di seluruh negara serta tidak terhad kepada satu-satu lokaliti semata-mata,” katanya di sini, hari ini.

Tambah beliau, keputusan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan itu juga telah melalui proses perbincangan yang mendalam demi pendidikan anak-anak di negara ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN