TEMERLOH: Tinggal di kawasan pedalaman, tidak menghalang wanita Orang Asli etnik Jahut, Nur Rafidah Man, 26, menguasai ilmu pemasaran moden melalui TikTok.
Buktinya, Nur Rafidah, kini mempunyai 100,000 pengikut di platform tersebut, sekali gus membantunya menjual pelbagai jenis herba dan minyak urut.
Hasil daripada jualan itu, wanita itu mampu mengubah kehidupan keluarganya dengan membina sebuah rumah konkrit yang dijangka siap pertengahan tahun ini.
Berkongsi kisahnya dengan Utusan Malaysia, Nur Rafidah berkata, dia ada mengikuti bengkel multimedia dan perniagaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau, tidak jauh dari kampungnya tahun lalu.
Katanya, kisah dia di TikTok bermula apabila berkongsi cerita perjalanannya mencari tumbuh-tumbuhan hutan untuk dijual.
“Saya cuma merakamkan suasana keindahan hutan, tumbuhan, serangga, menyeberangi sungai menggunakan rakit dan sebagainya dan dimuatkan ke akaun TikTok saya, @Jungle Girl.
“Awalnya hanya ‘suka-suka’ bermain TikTok, tetapi keadaan berubah apabila pengikut saya mencapai 60,000 sejak penghujung tahun lalu dan kini meningkat mendadak sehingga 100,000,” katanya ditemui di Pos Penderas dekat sini.
Katanya, dia bersama ibu, Rubiah Badoi, 48, dan bapa, Man Bai, 50, kerap ke Hutan Simpan Krau untuk mencari tumbuhan herba seperti kemuning hitam, kacip Fatimah, manjakani, cemburu bukit, bidadari putih, tongkat ali, cengkih dan sumber lain untuk dijual.
“Aktiviti yang saya tunjukkan di TikTok mendapat perhatian seorang pengusaha ubat-ubatan herba di Kelantan, dia menghubungi kami dan datang jumpa kami untuk dapatkan bekalan.
“Selain membantu mengedarkan (menjual) minyak urut, jamu kacip fatimah (sesuai untuk ibu bersalin) dan madu lebah Tualang yang telah diproses menerusi di TikTok,” katanya.
Katanya, minyak urut 30 mililiter dijual dengan harga RM35 sebotol, madu Tualang seberat 230 gram (RM48.90) dan kapsul jamu kacip Fatimah (RM35) yang mendapatkan permintaan masyarakat.










