Wan Fayhsal dakwa PM hantar wakil serah perjanjian - Utusan Malaysia

Wan Fayhsal dakwa PM hantar wakil serah perjanjian

WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang ‘wakil’ Perdana Menteri didakwa menyerahkan dokumen kononnya berkaitan perjanjian antara pembangkang dan kerajaan berhubung peruntukan ahli Parlimen.

Dakwaan itu dibuat Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerusi akaun X miliknya semalam.

Malah Ketua Pemuda Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menambah, wakil Perdana Menteri itu dikatakan telah menyerahkan dokumen dipercayai perjanjian kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Yang kamu tak tahu ialah PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah hantar wakilnya dah serahkan dokumen tersebut kepada Ketua Pembangkang.

“Bukan semua benda PMX cerita dengan kamu macam dia buat deal (perjanjian) dengan Bagan Datuk (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dulu. Memanglah TPM dan kamu tak tahu. Bukan fake news (berita palsu),” katanya merujuk ciapan kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari yang mendakwa tiada apa-apa perjanjian atau perbincangan mendalam mengenai perjanjian dengan pembangkang.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataan menjelaskan bahawa tidak wujud draf perjanjian berkaitan tuntutan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dengan Kerajaan Madani seperti didakwa oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Hal ini setelah Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid daripada Bersatu mendakwa wujud perjanjian antara kerajaan dan PN.

Minggu lalu, satu pertemuan berlangsung antara Fadillah dengan tiga wakil PN dan ia berkaitan rundingan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang, namun tidak mengulas mengenai perinciannya.

Selain Hamzah, pertemuan juga disertai Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN