PUTRAJAYA: Dalam usaha memperkasakan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah, Kementerian Pendidikan (KPM) menyeru semua institusi pendidikan di bawahnya melanggan akhbar Utusan Malaysia dan dua lagi akhbar berbahasa Melayu utama lain.
Langkah itu bagi menjayakan inisiatif membudayakan amalan membaca akhbar di sekolah.
Dalam satu kenyataan kementerian itu memaklumkan, pembelian akhbar boleh dilakukan terus oleh pihak sekolah menggunakan peruntukan sedia ada.
“KPM percaya inisiatif ini dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan murid,” jelas kenyataan itu, semalam.
Utusan Malaysia sejak awal penerbitannya menggunakan format penggunaan bahasa Melayu yang tepat seperti digariskan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekali gus mampu menjadi wadah pengajaran dan
pembelajaran di sekolah-sekolah.
Inisiatif ini mampu memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda yang kini banyak dipengaruhi penggunaan bahasa rojak atau bahasa pasar terutama di platform media sosial.
Ini sekali gus boleh memanfaatkan lebih lima juta murid yang baru memulakan persekolahan bagi sesi 2024/2025 di semua peringkat iaitu prasekolah, sekolah rendah dan menengah di 10,232 sekolah di seluruh negara di bawah sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.
KPM sebelum ini turut mengambil sikap prihatin apabila bersetuju menarik balik arahan larangan langganan akhbar Utusan Malaysia membabitkan kementerian, jabatan, sekolah dan institusi di bawah seliaannya berkuat kuasa 12 Januari lalu.
Ia merupakan pembatalan arahan terhadap memorandum dikeluarkan enam tahun lalu yang melarang semua agensi di bawah kementerian termasuk sekolah melanggan akhbar Utusan Malaysia.
Dalam pemberitahuan rasmi kepada Media Mulia Sdn. Bhd. iaitu penerbit Utusan Malaysia, KPM bersetuju dan meluluskan penarikan semula memorandum pembatalan langganan akhbar Utusan Malaysia bagi semua agensi, sekolah, kolej dan institusi pendidikan di bawah KPM.
“Justeru, KPM tidak mempunyai sebarang halangan bagi langganan akhbar Utusan Malaysia.” Ini antara kandungan surat yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KPM, Datuk Nik Nasarudin Mohd. Zawawi.
Pada Julai 2018, satu memorandum dikeluarkan oleh penasihat menteri pendidikan yang mengarahkan sekolah, universiti, kolej dan institusi lain di bawah bidang kuasanya untuk berhenti melanggan akhbar Utusan Malaysia.
Memorandum berkenaan menyatakan Menteri Pendidikan memohon agar langganan surat khabar Utusan Malaysia bagi semua bahagian, agensi, sekolah, universiti, kolej, dan semua institusi di dalam KPM dibatalkan serta-merta.
Sementara itu, Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar merakamkan penghargaan kepada KPM kerana mengembalikan akhbar ke sekolah dan memartabatkan bahasa Melayu menerusi akhbar.
Katanya, akhbar selama berdekad menjadi wadah di sekolah sebelum ledakan internet sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran.
“Akhbar sememangnya menjadi sumber ilmu dan maklumat kepada pelajar sejak dahulu. Kebanyakan mereka yang kini dewasa dibesarkan menerusi maklumat yang diperoleh menerusi medium cetak ini.
“Keputusan kementerian akan mengembalikan budaya membaca, mencari maklumat dan lebih penting memartabatkan bahasa Melayu dalam ruang lebih besar,” katanya mengulas keputusan kementerian itu. – UTUSAN










