JERANTUT: Kira-kira 250 kanak-kanak dan remaja lelaki menyertai program Moh Gunting Rambut sempena Kembali Ke Sekolah anjuran UMNO Bahagian Jerantut di Bandar Baru Jerantut di sini.
Penjaga murid dari Ulu Tembeling, Zulkefly Jamaluddin, 64, berkata, dia bersyukur kerana bantuan itu dapat menjimatkan perbelanjaan kira-kira RM30 bagi menggunting rambut tiga anaknya yang akan kembali ke sekolah, esok.
“Usaha dan bantuan UMNO Bahagian Jerantut cukup bermakna khususnya kepada ibu bapa dan penjaga yang rata-ratanya terdiri dalam kalangan B40 seperti penoreh getah, petani dan buruh.
“Program ini amat tepat sekali dan wajar diteruskan pada masa akan datang malah selain UMNO, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat juga perlu melibatkan aktiviti tanggungjawab sosial ini bagi membantu meringankan penduduk yang susah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Zulkefly, dia sudah berbelanja hampir RM600 membeli keperluan persekolahan tiga anaknya membabitkan beg sekolah, pakaian seragam, alat tulis dan peralatan kebersihan diri untuk tinggal di asrama.
Seorang kanak-kanak, Mohd. Saudi Irwan, 12, berkata, dia teruja apabila ibunya membawa menyertai program gunting rambut percuma di hadapan bangunan UMNO di sini sebelum ke pasar raya berbelanja peralatan persekolahan.
“Inilah kali pertama saya berpeluang menyertai program secara percuma berbanding sebelum ini pergi kedai gunting rambut berbayar,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah pula berkata, dia bersyukur program itu mendapat sambutan menggalakkan apabila 250 kanak-kanak dan remaja menyertainya.
“Kita tidak menghadkan jumlah penyertaan untuk perkhidmatan percuma ini, malah dialu-alukan lebih ramai datang ke sini dalam tempoh masa yang ditetapkan dengan bantuan lima tukang gunting,” katanya. – UTUSAN










