SEREMBAN: Seorang wanita berusia 60-an kerugian sehingga RM3.46 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, perkara itu diketahui selepas kaunter aduan Balai Polis Nilai menerima satu aduan daripada seorang wanita tempatan pada pukul 9.54 malam semalam.
Menurut wanita itu, pada 22 Januari lalu, dia telah menerima satu pesanan ringkas dari nombor yang tidak dikenali yang menawarkan skim pelaburan Forex untuk mendapatkan keuntungan tinggi.
“Pengadu telah membuat 60 transaksi berjumlah RM3.46 juta ke pelbagai akaun yang diberikan oleh suspek. Pengadu kemudian menyedari telah ditipu setelah semakan ke atas laman web pelaburan tersebut dibuat dan didapati tidak wujud.
“Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang berusaha mengesan suspek terlibat untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini.
Abdul Malik sehubungan itu menasihatkan orang awam agar membuat semakan dengan pihak berkuasa dan Bank Negara Malaysia sebelum menyertai apa-apa skim pelaburan atau skim cepat kaya bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.-UTUSAN.










