Tangguh rawatan barah demi rezeki Ramadan

Tangguh rawatan barah demi rezeki Ramadan

NOOR DIANA Hashim menyusun pelbagai biskut raya yang dijualnya di Bazar Ramadan di Angsana Mall, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Isteri seorang bekas anggota kumpulan nasyid Iman Heart, Noor Diana Hashim, 45, terpaksa menangguhkan ra­watan radioterapi bagi mencari rezeki sepanjang Ramadan ini.

Dia yang menghidap barah payu dara sejak September 2021, manakala suaminya, Zek Ayry Khan, 45, mengalami cakera teranjak (slipped disc) menyebabkan keadaannya bertambah buruk sejak lima bulan lalu.

Noor Diana berkata, doktor menyatakan sel kansernya agresif dan boleh merebak ke organ lain, namun terpaksa berniaga di bazar Ramadan di Angsana Mall Johor Bahru bagi me­ringankan beban keluarga.

Walaupun menghidap barah tahap tiga, dia sanggup menangguhkan rawatan enam ki­taran kemoterapi dan radioterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI) pada masa ini.

Selain sibuk berniaga, dia dan ahli keluarga bergilir-gilir menjaga suaminya yang baru menjalani implan tulang belakang di Hospital Sultanah Aminah (HSA), awal minggu lalu dan kini masih menjalani rawatan susulan.

“Alhamdulillah, pada masa ini saya sihat, namun doktor menasihatkan supaya menjalani kemoterapi kerana tempoh rehat selepas rawatan terakhir sudah tamat. Namun, saya minta jasa baik doktor untuk menangguhkan rawatan kerana perlu selesaikan beberapa perkara termasuk jaga suami selain mencari rezeki menyara keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dia bersyukur kerana ketiga-tiga anaknya memahami keada­an keluarga dan bergilir-gilir menjaga suami di hospital, namun dari segi kewangan dua anak lelakinya membantu sekadar yang mampu kerana hanya bekerja biasa.

“Saya berniaga biskut raya di Angsana Mall mulai pagi hingga malam, namun jika ingin bertemu suami, anak perempuan berusia 15 tahun akan menggantikan saya. Alhamdulillah, terima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang membiayai kos pembedahan suami sebanyak RM9,400,” katanya.

Dia menjual pelbagai jenis biskut raya pada harga RM35 sebalang atau RM100 bagi tiga balang.

Orang ramai boleh menghubungi Noor Diana menerusi talian 017-789 8100 atau me­nyalurkan sumbangan menerusi akaun AmBank bernombor 1040070003182. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN