IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan mengenai tercetusnya api perkauman berikutan insiden melempar bom petrol ke dalam kedai serbaneka KK Mart Bidor pada 26 Mac lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Dewan Negara Perak Istana Kinta semalam, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, baginda sudah maklum mengenai kejadian itu oleh pihak polis dan meminta perkara tersebut diberi perhatian serius.
“Baginda menyifatkan perbuatan yang berlaku itu merupakan petanda membimbangkan dan hendaklah diberi perhatian yang serius melalui tindakan tegas supaya api perkauman segera dibendung daripada merebak lebih luas.
“Baginda percaya majoriti rakyat Malaysia bersikap rasional, moderat dan mengutamakan hubungan harmoni dan keamanan.
“Baginda memberi jaminan untuk memberikan naungan dan perlindungan kepada setiap rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan menganut agama, secara adil dan saksama agar dapat terus hidup dalam rukun dan damai, sama sama membina dan membangunkan negara yang aman lagi makmur,” katanya.
Dalam kejadian Selasa lalu, sebuah kedai KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dilempar objek dipercayai bom petrol oleh dua individu tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta.
Penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai serbaneka tersebut oleh pihak polis mengesan individu yang terlibat dalam kejadian itu.
Usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
Dalam pada itu, Mohd. Zahidi turut memaklumkan Pejabat Sultan Perak sudah membuat laporan polis kelmarin berikutan satu kenyataan tular atas nama Amanah Membina Negara yang dikaitkan dengan konteks yang salah, petikan titah baginda sebagai Raja Muda Perak 19 tahun lalu pada di Kongres Pendidikan Melayu Kedua yang berlangsung pada 27 Mac 2005 di Berjaya Times Square, Hotel & Convention Centre Kuala Lumpur.
Jelasnya, dalam titah tersebut, baginda menzahirkan kupasan terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi kelemahan dan kekuatan bangsa Melayu dan pentingnya bangsa bersifat merdeka dan dimerdekakan jiwa, dibebaskan minda, diperkaya dengan nilai nilai positif, bebas mendaki puncak pengetahuan, dibebaskan menyelami lautan ilmu, serta dibina keyakinan bangsa.
Katanya, baginda menegaskan agama, pemimpin, keluarga, masyarakat seta ilmu dan pendidikan mempunyai peranan kuat dalam budaya masyarakat Melayu.
“Baginda memperingatkan agar bangsa perlu berwaspada supaya tidak terlalu cepat terperangkap dan begitu mudah mengulangi ungkapan ungkapan negatif yang merendahkan martabat.
“Kanta penilaian yang dipilih akan mempengaruhi nilai yang diberikan kepada bangsa. Bila kekurangan begitu cepat ditafsirkan sebagai kelemahan maka padi mula dikatakan lalang, beras pula disangka pasir.
“Sedarlah apabila sesuatu bangsa memilih untuk merendahkan bangsanya sendiri, akan terbukalah jendela yang memberanikan bangsa lain untuk menghinanya. Lalu bangsa akan dipandang fakir, adat budayanya bakal tersingkir.
“Sepanjang titah, baginda tidak sama sekali mengait atau menzahirkan ungkitan mana-mana kaum di negara ini. Dipercayai ada pihak ketika ini yang memilih mahu menghidupkan bara perkauman dan agama hingga ke peringkat mengaitkan secara luar konteks titah yang dizahirkan oleh Raja Nazrin Shah pada tahun 2005,” katanya.











