PETALING JAYA: Polis akan memanggil beberapa individu termasuk pihak KK Mart bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang tular baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua saksi akan dipanggil untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat ini.
“Siasatan sedang dijalankan, kita semua akan panggil saksi-saksi berkaitan dengan kes ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan menjalankan siasatan berhubung penjualan stoking yang tertera kalimah Allah sehingga tular di media sosial baru-baru ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan walaupun permohonan maaf sudah dibuat oleh KK Mart dan vendornya.
Jelasnya, ia bagi menangani isu yang mencetuskan kegemparan dan kegusaran awam.
“Pihak polis sudah menerima 36 laporan berkaitan penjualan stoking berkenaan dan satu kertas siasatan sudah dibuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkaitan apakah tindakan yang akan diambil oleh KDN bagi menoktahkan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah ketika Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Razarudin mengingatkan pihaknya tidak akan kompromi terhadap mana-mana pihak sekiranya menyentuh sensitiviti berkaitan 3R yang merujuk agama, kaum dan institusi raja.
Tegas beliau, perkara ini sering kali diingatkan pihaknya agar bersama menjaga sensitiviti semua pihak.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) setiap masa memantau isu sebegini demi memastikan keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin.
“Individu dikesan memainkan isu 3R melalui media sosial atau cuba menyebarkan sesuatu yang tidak benar juga tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang,” katanya
Beliau berkata, masyarakat digesa salurkan maklumat dengan membuat laporan polis agar tindakan dan siasatan dapat diambil.
“Polis memandang serius isu 3R ini dan kita mengingatkan orang ramai agar tidak mencetuskan sebarang provokasi yang mampu menyentuh sensitiviti agama dan perkauman dalam kalangan masyarakat.
“Polis mengingatkan orang ramai supaya menjadi pengguna bijak dalam berkongsi pandangan atau pendapat menerusi media sosial tanpa menyentuh sebarang isu sensitif,” ujarnya.
Sabtu lalu, Pengurusan tertinggi KK Mart menyatakan kesal dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah Allah di satu daripada cawangannya di Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya sebelum tular dalam media sosial.
Selain itu, seorang pengguna Facebook iaitu Ricky Shane CA turut tampil membuat permohonan maaf selepas dipercayai membuat komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah dalam isu stoking.
Lelaki itu kini disiasat polis di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Dalam kes berlainan, tular rakaman video di laman sosial, memaparkan seorang wanita masuk ke ruang solat lelaki Masjid Jamek Ar-Rahman di Pulau Pinang, pada 12 Mac lalu, dikatakan meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan suara bacaan bilal dan imam selain bertanyakan soalan dianggap kurang sopan.- UTUSAN











