KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kuasa mutlak dalam membuat segala keputusan berhubung perniagaan, pentadbiran dan operasi syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn. Bhd. (SRC).
Menurut bekas Pengarah SRC, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, kuasa mutlak Najib termasuk bagaimana dana RM4 bilion yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP) akan digunakan.
Shahrol Azral yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagaimanapun menafikan beliau bertanggung jawab dalam membuat keputusan untuk memohon pinjaman daripada KWAP.
“Tidak. Semua keputusan penting yang membabitkan jumlah wang yang begitu besar iaitu pinjaman RM4 bilion daripada KWAP dibuat oleh defendan pertama (Najib).
“Sebagai seorang pengarah semata-mata dan hanya salah seorang daripada pengarah dalam lembaga pengarah, saya tidak ada kuasa membuat sebarang keputusan berkenaan pinjaman RM4 bilion daripada KWAP terbabit.
“Tambahan pula, KWAP merupakan badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007, dikehendaki melapor terus kepada Menteri Kewangan iaitu defendan pertama (Najib) dan beliau yang meluluskan atau menyebabkan untuk diluluskan, permohonan SRC bagi pinjaman KWAP sama ada melalui diri sendiri atau arahannya kepada panel pelaburan KWAP,” katanya.
Tambahnya, mengikut undang-undang dan melalui amalan, Shahrol Azral diwajibkan mematuhi dan melaksanakan keputusan serta arahan Najib.
Shahrol Azral berkata demikian melalui pernyataan saksinya dalam kes saman dikemukakan SRC terhadap Najib dan bekas CEO 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.
Pada 7 Mei 2021, SRC memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Nik Faisal.
Dalam tuntutan tersebut, lima bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan lima individu berkenaan dalam saman dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.
Lima individu itu ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.
SRC yang juga anak syarikat 1MDB selaku plaintif dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.
SRC memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN










