Simpan bahan lucah, lima warga China dijel lima bulan - Utusan Malaysia

Simpan bahan lucah, lima warga China dijel lima bulan

LIMA lelaki warganegara China dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menyimpan bahan lucah untuk tujuan pengedaran pada minggu lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lima orang lelaki warganegara China dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menyimpan bahan lucah untuk tujuan pengedaran pada minggu lalu. 

Majistret, Syed Farid Syed Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Jiang Lidong, 32; Chen Shaoyi, 26; Lin Chaojin, 28; Wang Longxing, 36 dan Chen Jinjiang, 34, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Berdasarkan pertuduhan, didapati dalam milikan mereka iaitu bahan lucah yang disimpan dalam bentuk gambar dan video bagi maksud pengedaran dalam peranti lima unit telefon bimbit dan satu set komputer riba. 

Kesalahan tersebut dilakukan pada 20 Mac lalu pukul 1 tengah hari di sebuah rumah di Garden City Homes di Seremban 2 di sini.

Oleh itu, kesemuanya didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 kanun sama.

Bagaimanapun seorang lagi tertuduh warga Cina iaitu Lin Zehong, 27,yang turut berdepan pertuduhan itu tidak mengaku bersalah. 

Sementara itu, di kamar berasingan di Mahkamah Majistret Seremban  di sini, kesemua tertuduh pada tarikh dan di lokasi sama dengan tujuan untuk melakukan pakat jahat jenayah, telah bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu menjalankan penipuan dalam talian yang bertentangan dengan Seksyen 417 Kanun Keseksaan. 

Berikutan itu mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 120A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 120B akta yang sama dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. 

Bagaimanapun, kesemuanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Majistret, Nurul Saqinah Rosli kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat penjamin  merupakan dua rakyat negara ini serta  perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah. 

Selain itu, Lin Zehong turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963(Pindaan 2002) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama kerana berada di negara ini tanpa pas yang sah. 

Lin Zehong bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia serta pasport perlu diserahkan kepada mahkamah. 

Sebutan semula bagi kesemua kes ialah pada 13 Mei ini.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Pusppa dan Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Ikram Abd. Halim.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN