Senarai nama rakyat Kedah berkahwin di Siam akan didedahkan

Senarai nama rakyat Kedah berkahwin di Siam akan didedahkan

Halimaton Shaadiah Saad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pejabat agama Islam di Selatan Thailand akan menyerahkan senarai nama rakyat Kedah yang berkahwin di wilayah itu bagi menyelesaikan masalah perkahwinan mereka yang tidak didaftarkan dalam negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Perpaduan, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, data berkenaan membolehkan pihak berkuasa agama Islam negeri menetapkan perintah kepada pasangan terbabit untuk berdaftar dengan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).

“Antara masalah pasangan berkahwin di Thailand yang tidak mendaftar dengan MAIK menyebabkan anak yang lahir tidak dapat didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isteri pula tiada hak jika bercerai hidup atau bercerai mati. Seterusnya isteri dan anak tiada hak ke atas harta pusaka, penilaian peninggalan ayah atau suami. Ini termasuk anak tidak dapat belajar di sekolah kerajaan yang mana masalah ini membimbangkan,” katanya.

Halimaton Shaadiah (PN-Bukit Kayu Hitam) berkata demikian pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Tambah beliau, kesan lain termasuk menyebabkan anak tidak sah taraf berkenaan tidak dapat berkahwin dalam negara kerana tidak mendaftar dengan Majlis Agama Islam negeri berikutan tiada dokumen pengenalan.

“Semua ini menimbulkan masalah sosial kepada masyarakat pada masa akan datang. Jadi langkah mendapatkan senarai nama ini bertujuan untuk menggalakkan pasangan yang bernikah di sempadan mendaftar perkahwinan mereka dalam negara,” katanya.

Ujarnya, jaminan untuk mendapatkan data itu telah diberikan oleh pihak berkuasa agama Islam Selatan Thailand antaranya Majlis Agama Islam Pattani; Majlis Agama Islam Songkhla dan Pejabat Gabenor Songkhla selain Konsulat Malaysia di Songkhla untuk berkongsi data berkenaan.

Beliau berkata, selepas senarai nama berkenaan diperolehi, pihaknya akan mengadakan kempen untuk meminta mereka yang terlibat untuk mendaftar perkahwinan di pejabat agama masing-masing.

“Persefahaman itu dicapai dalam lawatan kerja pada Februari lalu membabitkan Wilayah Pattani, Yala dan Songkhla dalam memastikan pengesahan status perkahwinan rentas sempadan dapat dilakukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini